Dua juta perniagaan kecil, informal tidak berdaftar di seluruh negara

WAN JUNAIDI
WAN JUNAIDI
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagi membolehkan peniaga-peniaga ini menikmati pelbagai bantuan disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), beliau meminta peniaga-peniaga kecil dan informal tersebut untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu dengan pihak berwajib.

“Oleh kerana mereka tidak berdaftar, MEDAC tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka (peniaga) dan ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada, dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis di Lundu, Sarawak hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penduduk dan 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu, Sarawak menerima bantuan kewangan bernilai hampir RM200,000 di bawah geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) kerajaan negeri.

Pemberian MRP bernilai RM187,200, khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, dalam memastikan kelangsungan perniagaan di era Covid-19 usahawan diminta untuk membuat persiapan yang sewajarnya dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional ke digital.

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian. Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya," katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan katanya, ada di antara peniaga-peniaga ini yang menikmati peningkatan penjualan hingga 500 peratus setelah mereka berhijrah ke perniagaan secara dalam talian. - Bernama