X

Kindly register in order to view this article
!

Praktikkan SOP dalam masjid ke kawasan tumpuan ramai lain

DR IZANI HUSIN
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan berharap prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan di dalam masjid akan dipraktikkan di semua lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pematuhan rakyat terhadap SOP di dalam masjid dilihat lebih baik berbanding pematuhan di tempat awam lain.

"Apabila berada di dalam masjid, jemaah akan melakukan penjarakkan fizikal, bawa sejadah sendiri, memakai penutup muka dan sebagainya. Mereka patuh dengan baik dan sebab itulah kita mahu ia turut dipratikkan di luar masjid,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sumbangan Musaadah Covid-19 Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Dr Izani berkata, orang ramai perlu terus patuh dengan SOP yang ditetapkan, malah kerajaan negeri yakin jika ia dilaksanakan dengan penuh disiplin, Kelantan akan tampil menjadi salah sebuah negeri yang berjaya melawan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas ditamatkan semalam, namun semua pihak perlu sentiasa berwaspada memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

“Penamatan PKPB bukanlah bermakna kita sudah selamat tapi kita beri laluan kerana masalah ekonomi untuk peniaga cari makan dan sebagainya.

“Rakyat kena ingat, Covid-19 ini ada dengan kita. Maka kita kena pandai bagaimana untuk hidup dengan pandemik ini. SOP yang ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi sebaik mungkin,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!