40 orang asli lari masuk hutan angkara berita palsu Covid-19

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak panik dengan penyebaran berita penularan pandemik Covid-19 di negeri ini jika masih belum ditentukan kesahihannya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes baharu positif Covid-19 akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tindakan susulan akan dibuat menerusi saringan pemeriksaan bagi kontak rapat yang terlibat.

"Ada berita palsu melibatkan kawasan orang asli semalam menyebabkan penduduk melarikan diri ke dalam hutan selepas khabar angin mengatakan seorang guru agama di kawasan mereka positif Covid-19. Akibat mempercayai berita palsu itu, seramai 40 orang asli berkhemah dalam hutan.

"Jangan mudah percaya khabar angin. Sebarang kemuskilan boleh hubungi polis dan KKM. Banyak khabar angin disebarkan sehingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 15 keluarga dari Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah melarikan diri selepas tersebar khabar angin seorang pegawai agama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor positif Covid-19.

Seramai 40 penduduk daripada keluarga berkenaan dikatakan sanggup berjalan sejauh lapan kilometer termasuk menaiki bot ke satu kawasan hutan sejak empat hari lalu selepas mengetahui khabar angin tersebut.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, guru agama terbabit sudah menjalani saringan dan keputusannya disahkan negatif.

Berikutan itu, katanya, usaha untuk memujuk orang asli yang melarikan diri ke dalam hutan supaya kembali ke kampung mereka sedang dilakukan.

Artikel Berkaitan: