8,000 jawatan kontrak JKM ditawar tahun depan

Rina menyampaikan bantuan wang tunai dan barang keperluan dapur kepada mangsa banjir kilat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini.
Rina menyampaikan bantuan wang tunai dan barang keperluan dapur kepada mangsa banjir kilat di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula awal tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu sebahagian usaha menstrukturkan semula JKM bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi semasa krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, usaha berkenaan pada masa sama juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat yang memerlukan.

"Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan akan mewujudkan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan. JKM juga tersenarai sebagai salah sebuah agensi yang perlu diberi perhatian untuk penambahan kakitangan.

"Kita jangkakan lantikan kontrak ini mula dibuat pada tahun depan iaitu sebaik sahaja Belanjawan 2021 diluluskan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir kilat Kampung Datuk Keramat di sini hari ini.

Rina menziarahi rumah mangsa banjir kilat selepas majlis penyerahan bantuan kepada penduduk terjejas dengan bencana itu di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini.
Rina menziarahi rumah mangsa banjir kilat selepas majlis penyerahan bantuan kepada penduduk terjejas dengan bencana itu di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini.

Rina berkata, penambahan kakitangan JKM itu amat diperlukan kerana JKM juga merupakan barisan petugas barisan hadapan atau 'frontliner' yang bekerja tidak kira siang atau malam.

Menurutnya, dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, beliau perlu menjaga kebajikan warga kerja kementeriannya seterusnya mengelakkan mereka terbeban dengan tugas yang terlampau banyak.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, kementeriannya pada masa sama juga akan menambah perjawatan pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak.

"Kita telah kemukakan permohonan kepada kerajaan untuk tambahan kakitangan pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak kerana dalam keadaan sekarang kita sedar ramai rakyat yang terjejas.

"Sebagai contoh untuk kakitangan pelindung kanak-kanak, saya tidak boleh gunakan orang yang sama untuk buat kerja-kerja lain kerana kes yang mereka kendalikan juga sudah banyak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, masalah banjir kilat di Kampung Datuk Keramat di sini akan selesai apabila rumah pam air di kawasan berkenaan yang sedang dibina dijangka siap pada awal tahun depan.

Rina meninjau tapak projek rumah pam air di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kilat di kawasan berkenaan hari ini.
Rina meninjau tapak projek rumah pam air di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kilat di kawasan berkenaan hari ini.

Menurut beliau, pembinaan rumah pam air itu sebenarnya telah dimulakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal tahun ini, bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan sementara kerana berlaku mendapan tanah di kawasan projek serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kerja-kerja pembinaan itu disambung semula pada September lalu. Jadi ini adalah tindakan untuk jangkamasa panjang yang kita ambil untuk atasi masalah banjir kilat di kawasan ini.

"Pada masa sama, pembangunan yang ada di Kuala Lumpur pesat, jadi kita sentiasa adakan perbincangan dengan kontraktor, pemaju dan DBKL untuk mengurangkan risiko banjir kilat dan sebagainya," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 30 mangsa banjir kilat yang melanda baru-baru ini menerima wang tunai dan barang keperluan dapur.