Peniaga salah guna lesen Program WBB akan disenarai hitam: Annuar

ANNUAR
ANNUAR
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga yang menyalahgunakan lesen Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) dengan memberikannya kepada warga asing akan berdepan tindakan tegas termasuk disenarai hitam selain lesen ditarik balik dan tidak dikembalikan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan membuat siasatan untuk memastikan hanya warga tempatan memohon WBB selain mereka tidak memperoleh lebih daripada satu lesen WBB itu.

"Hingga semalam, program WBB ini menerima 3,300 permohonan daripada mereka yang mahu membuka perniagaan di kawasan tertentu di ibu negara terutama mereka yang terjejas oleh pandemik Covid-19 dan golongan muda," katanya.

Annuar berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 1,700 permohonan sudah diluluskan dan hanya sebilangan kecil yang ditolak kerana memohon berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Sebahagian lagi dalam proses untuk diberikan kelulusan. Saya jangka hanya menerima 2,000 permohonan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Covid-19 di Kampung Tokong, Ketereh di sini hari ini.

Kira-kira 100 penduduk kaum Cina menerima bantuan berbentuk barangan keperluan asas pada majlis itu.

Annuar juga gembira kerana program itu diikuti oleh beberapa negeri lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: