X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu pakej rangsangan ekonomi tambahan RM45 bilion

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan bernilai RM45 bilion diperlukan untuk Belanjawan 2021 susulan kenaikan tidak dijangka kadar pengangguran kepada 4.7 peratus serta penguncupan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) sebanyak 0.5 peratus pada Oktober lalu.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) baru-baru ini, terdapat sebanyak 748,200 orang penganggur pada Oktober lalu iaitu peningkatan 0.1 peratus kepada 4.7 peratus berbanding 4.6 peratus pada September.

Menurutnya, penguncupan IPI tahun ke tahun (y-o-y) pada Oktober lalu sebanyak 0.5 peratus adalah satu kejutan berikutan pertumbuhan tiga bulan berturut-turut pada Julai, Ogos dan September ketika negara ini menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

"DOSM mengatakan bahawa sebelum penguncupan 0.5 peratus IPI pada Oktober 2020, IPI bertumbuh 1.2 peratus pada Julai, 0.2 peratus pada Ogos dan satu peratus pada September.

"Oleh itu ramai yang mengharapkan pengangguran menurun dan IPI terus bertumbuh pada Oktober berikutan pelonggaran sekatan pergerakan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, seramai 748,200 orang penganggur itu sepadan dengan ramalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa satu juta rakyat Malaysia yang menganggur menjelang September termasuk sektor tidak formal, lepasan sekolah dan graduan baharu universiti.

Katanya, pemulihan ekonomi yang diharapkan daripada peningkatan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global telah terbantut di Malaysia dan semakin kurang kesannya.

"Bukan sahaja IPI menguncup, tetapi terdapat penurunan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar Malaysia sebanyak 11.6 peratus pada suku ketiga tahun ini. Penurunan mendadak itu akan memberi kesan buruk kepada keyakinan ekonomi terhadap pertumbuhan masa depan serta merosakkan daya saing Malaysia kerana negara-negara lain di Asia tidak mengalami fenomena yang sama.

"Oleh itu, tambahan RM45 bilion untuk Belanjawan 2021 diperlukan demi mewujudkan sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan memperlahankan pemberhentian pekerjaan, kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!