PRU15: Bersatu Kedah, PN cari formula baharu agih kerusi

Mohd Suhaimi (tiga,kanan) menerima borang keahlian dari R. Balakrishnan yang mewakili masyarakat India yang berdaftar sebagai ahli Bersatu malam tadi.
Mohd Suhaimi (tiga,kanan) menerima borang keahlian dari R. Balakrishnan yang mewakili masyarakat India yang berdaftar sebagai ahli Bersatu malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah tidak akan menggunakan formula berdasarkan PRU lepas bagi menentukan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah, Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, sebaliknya Bersatu bersama parti dalam Perikatan Nasional (PN) Kedah akan mencari formula baharu yang lebih adil sebagai landasan untuk mengagihkan kerusi bagi menghadapi PRU-15.

"Bagi tiga parti terbesar ini agak sukar. Kita ambil UMNO contohnya, mereka hanya ada dua kerusi iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), ia tidak adil untuk dua kerusi sedangkan kita ada 15 kerusi.

"Kita juga perlu mengambil kira parti komponen Cina dan India kerana penglibatan mereka diperlukan," katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Makan Malam Deepavali 2020 anjuran Bersatu Bahagian Alor Setar di sini, malam tadi.

Menurutnya, beliau sudah bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagi membincangkan calon-calon sesuai yang akan mengisi kerusi pada PRU-15.

"Bagaimanapun ia belum diputuskan kerana ketika ini saya masih melihat, adakah PN ini hanya Bersatu dan Pas atau turut disertai UMNO?

"Sekarang ini agak sukar untuk kita menyusun atur kerusi selagi peringkat atasan masih belum selesai keputusan untuk bersama. Bagaimanapun kita akan utamakan kekuatan. Misalnya dikatakan Pas boleh menang di kerusi tersebut, kita akan serah kepada Pas," kata beliau lagi.

Terdahulu, Mohd Suhaimi menerima 200 borang keahlian daripada ahli berbangsa India yang diserahkan oleh Ahli Jawatan kuasa Interim Bersekutu Bersatu Bahagian Alor Setar, R. Balakrishnan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini Bersatu Kedah mempunyai lebih 50,000 orang ahli dan turut mengalu-alukan kemasukan ahli dari masyarakat Cina dan India yang kini digabungkan di bawah sayap Bersekutu Bersatu.