X

Kindly register in order to view this article
!

Enam ketua kawasan Parti Amanah tolak konvensyen Amanah NS

Datuk Zulkefl (tengah) enam bersama Ketua Kawasan Amanah Negeri dan AJK menolak untuk tidak menghadiri konvensyen Amanah Negeri Sembilan kali ke-5.
A
A

SEREMBAN - Enam daripada lapan Ketua Kawasan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri, menolak untuk menghadiri Konvensyen Amanah Negeri Sembilan kali kelima yang akan diadakan esok.

Naib Pengerusi 2 Parti Amanah Negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, penolakan tersebut dibuat berikutan kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negeri Sembilan sekarang ini adalah tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan sebelum pelaksanaan konvensyen.

Katanya, kepimpinan tertinggi Amanah Negeri ini sepatutnya membuat pemilihan semula, setelah pelantikan yang dibuat pada November 2019 lalu, terbatal.

"Kami telah menerima maklumat daripada keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi Amanah Nasional yang meluluskan pemilihan semula pimpinan tertinggi Amanah Negeri Sembilan, namun sehingga kini tidak diadakan.

"Sepatutnya konvensyen perlu ditangguhkan, mereka perlu mengadakan pemilihan semula bagi empat jawatan tertinggi iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi 1 dan Naib Pengerusi 2, setelah semuanya selesai barulah kita adakan konvensyen pula," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sutera Seremban 2, hari ini.

Hadir sama, Ketua Amanah Kawasan Jelebu, Saiful Bahri Jaaman; Ketua Kawasan Jempil, Abd Rahman Ramli; Timbalan Ketua Kawasan Rembau, Sahrizal Masrudin; Ketua Kawasan Rasah, IR Mustafa AB Kadir; Ketua Kawasan Telok Kemang, Nasir Raman dan Timbalan Ketua Sayap Wanita Negeri, Rosmihayati Mohd Khairuddin.

Tambah Zulkefly, pemilihan pimpinan tertinggi Amanah negeri sebelum ini tidak mengikut perlembagaan yang ditetapkan, empat jawatan tertinggi sekarang ini adalah tidak sah dan perlu diadakan pemilihan semula.

Katanya, beliau bersama enam ketua kawasan termasuk sayap wanita, rasa teraniaya dengan ketidakjujuran pimpinan tertinggi Amanah Negeri yang dianggap mengetepikan keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi nasional pada bulan lalu.

"Kita mahukan tatacara permulaan yang betul mengikut lunas perlembagaan sepatutnya, jika pergolakan ini masih berterusan ia akan menjejaskan Parti Amanah pada pilihan raya akan datang.

"Oleh sebab ini kita menolak untuk menghadiri konvensyen Amanah, ia seperti memberi petanda yang jelas bahawa kami semua menolak pimpinan tertinggi Amanah Negeri Sembilan sedia ada," katanya lagi.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar, gagal mempertahankan jawatan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan bagi penggal 2019-2022.

Jawatan itu kini disandang oleh Timbalan Ketua Amanah Seremban, MK Ibrahim Abd Rahman yang sebelum ini adalah Naib Pengerusi 3.

Muhamad Zaki Md Sabri pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Exco Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani yang kini dipilih sebagai AJK.

Sementara itu Bendahari yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Bakri Sawir sebagai Naib Pengerusi 1 menggantikan Mustafar Ab Kadir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!