MAIK mudahkan bayaran fidyah

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

SEJAK di bangku sekolah, kita telah didedahkan dengan konsep fidyah iaitu bayaran denda ke atas orang Islam yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadan sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya.

Bagi mengupas isu tersebut dengan lebih mendalam, ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Mohd Yusri Mohd Daud di pejabatnya di Bangunan Wan Mat Saman di Alor Setar.

Boleh terangkan hukum membayar fidyah dan bagaimanakah seseorang itu boleh dikenakan fidyah?

MOHD YUSRI: Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada ALLAH SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Terdapat lima situasi bagaimana seseorang itu wajib membayar fidyah. Pertama, uzur menunaikan puasa wajib. Ia terdiri daripada golongan yang menghidap sakit kronik dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

Kedua, wanita hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

Cara bayaran menggunakan SnapNPay
Cara bayaran menggunakan SnapNPay

Ketiga, ibu yang menyusukan anak dengan syarat ibu yang berasa bimbang akan memudaratkan bayi seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka, dia perlu gantikan puasa yang ditinggalkan dan bayar fidyah.

Artikel Berkaitan:

Keempat, orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembaha-gian pusaka dibuat.

Akhir sekali, melambatkan ganti puasa. Mereka yang melambatkan ganti puasa hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan wajib ganti puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai Skim Fidyah dan Kaffarah di bawah Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah (TABK)?

TABK telah diberi nafas baharu bermula 1 Oktober 2014 bagi mempelbagaikan sumber dan menyediakan perkhidmatan baharu Baitulmal kepada masyarakat.

Terdapat lima skim yang diwujudkan di bawah unit TABK iaitu Skim Fidyah dan Kaffarah, Skim Harta dan Wang Tidak Patuh Syariah, Skim Infaq Fi Sabilillah, Skim Luqatah dan Skim Dana Wakaf Tunai.

Berbalik kepada Skim Fidyah dan Kaffarah, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) yang telah bersidang pada 19 Februari 2014, telah bersetuju untuk melaksanakan pengurusan fidyah dan kaffarah di bawah pengurusan Baitulmal MAIK mulai tahun 2014.

Kutipan wang fidyah dan kaffarah dilaksanakan oleh unit TABK mulai Oktober 2014 dengan kadar RM1.80 bagi secupak beras berdasarkan nilaian kadar zakat fitrah semasa di Kedah atau berat timbangan beras bersamaan 650 gram.

Hasil kutipan tersebut disalurkan kepada golongan fakir miskin berlandaskan hukum syarak dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah dan jawatankuasa kariah.

Difahamkan, MAIK kini menyediakan pelbagai platform untuk memudahkan pembayaran fidyah, selain perkhidmatan kaunter. Boleh tuan terangkan dengan lebih lanjut?

Ya, benar. Kita mengikut peredaran teknologi dan memahami kekangan yang dihadapi sesetengah individu untuk melunaskan bayaran fidyah. Sebagai kaedah penyelesaian, kita sediakan tiga kaedah bayaran yang boleh dipilih.

Cara bayaran menggunakan JomPay dan SnapNPay.
Cara bayaran menggunakan JomPay dan SnapNPay.

Pertama, bayaran boleh dibuat secara bersemuka di kaunter Pejabat Agama Daerah dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Selalunya kaedah ini digunakan oleh mereka yang agak berusia dan tidak mahir menggunakan aplikasi dalam talian. Kakitangan kita akan membantu membuat pengiraan untuk mendapatkan jumlah yang harus dibayar oleh individu berkenaan.

Kedua, melalui pindahan wang ke akaun Skim Fidyah dan Kaffarah menerusi akaun Bank Islam 02011010125251 (Baitulmal Negeri Kedah TABK). Ketiga, pembayaran secara dalam talian menggunakan aplikasi JomPay dan SnapNPay.

Kita juga telah mengambil satu lagi langkah proaktif dengan menyediakan aplikasi kalkulator fidyah dengan melayari laman web www.maik.gov.my.

Melalui aplikasi tersebut, pengiraan fidyah boleh dibuat secara automatik hanya dengan memasukkan jumlah bilangan hari puasa yang ditinggalkan dan boleh terus membuat pembayaran secara dalam talian. Islam ini mudah.

Jika jumlah denda perlu dibayar terlalu tinggi dan di luar kemampuan kita, bayaran boleh dibuat secara ansuran.

Bagaimana tuan melihat kesedaran masyarakat Islam untuk melunaskan bayaran fidyah?

Berdasarkan rekod yang diperoleh daripada Baitulmal, saya dapat simpulkan bahawa kesedaran itu semakin meningkat kerana kutipan fidyah kita meningkat saban tahun bermula pada tahun 2014 dengan kutipan sebanyak RM5,559.40.

Bagi tahun 2015, hasil kutipan fidyah telah meningkat kepada RM95,869.80 diikuti pada tahun 2016 sebanyak RM106,698.80. Pada tahun 2017 sebanyak RM176,649.55 dan pada tahun 2018 sebanyak RM220,457.

Hasil kutipan fidyah oleh Unit TABK pada tahun 2019 juga semakin menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak RM1,058,123.97 dan sehingga November 2020, ia mencatatkan kutipan sebanyak RM1,913,730.32. Ia menunjukkan hasil kutipan fidyah yang telah berjaya dikutip oleh pihak Baitulmal dari tahun 2014 sehingga November 2020 adalah sebanyak RM3,577,096.84.

Sehingga kini, sebanyak RM2,610,879.90 telah diagihkan kepada fakir miskin.

Bolehkah tuan terangkan proses agihan fidyah dan perancangan pihak Baitulmal dalam menguruskan perkhidmatan fidyah?

Berkaitan dengan agihan fidyah, pihak Baitulmal Negeri Kedah telah mengagihkan kutipan yang terkumpul kepada golongan fakir miskin melalui kerjasama antara Pejabat Agama Daerah dan pihak jawatankuasa masjid di seluruh Kedah.

Pihak masjid akan mengenal pasti individu yang layak supaya bantuan ini betul-betul sampai kepada golongan yang disasarkan.

Insya-ALLAH, Baitulmal juga telah merangka satu lagi kaedah agihan fidyah iaitu melalui tajaan yuran makan kepada pelajar-pelajar miskin yang terpilih di Kedah. Pada peringkat permulaan, sekolah yang disasarkan ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Sasaran jumlah kutipan yang tinggi bukanlah matlamat utama dan kayu ukur kejayaan perkhidmatan Baitulmal. Sebenarnya, kita sebagai seorang Muslim hendaklah menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba-NYA dengan tidak mengambil mudah dalam soal ibadah dan segera berusaha menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan.

Jangan jadikan budaya membayar fidyah sebagai alasan untuk tidak mahu ganti puasa pula.