JSPT KL laksana ops khas advokasi penunggang skuter elektrik

Penggunaan skuter elektrik semakin meningkat di ibu negara. - Foto hiasan 123RF
Penggunaan skuter elektrik semakin meningkat di ibu negara. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan operasi khas advokasi penunggang skuter elektrik di tiga lokasi di ibu kota semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, seramai 65 individu termasuk 35 wanita telah diperiksa di Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

"Kita turut memberi nasihat berkaitan penggunaan skuter elektrik dari sudut perundangan kepada individu berkenaan.

"Penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya tanpa pengawalan, pengawasan dan laluan yang ditetapkan boleh membahayakan diri dan juga pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, skuter elektrik tergolong di bawah takrifan kenderaan mikromobiliti dan di bawah pindaan terbaharu Akta Pengangkutan Jalan (APJ) (Oktober 2020) Seksyen 2 (b).

"Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna skuter elektrik adalah tidak menggunakan laluan atau siar kaki yang disediakan dan menunggang secara merbahaya di tengah jalan dan berkumpulan," katanya.

Katanya, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54 APJ 1987 di mana bagi kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan jika sabitan kesalahan kedua boleh didenda sebanyak RM1,000.00 atau penjara bagi tempoh tiga bulan.

"Setakat ini, tiada sebarang insiden atau kemalangan jalan raya membabitkan penunggang skuter elektrik ini tetapi sebagai langkah pencegahan mereka perlu sentiasa berhati-hati," katanya.

Artikel Berkaitan: