Kerajaan terus perkasa OKU

Dari kiri: Fazrul, Siti Zailah (dua dari kiri) bersama Ustaz Mustafar (dua dari kanan) dan Ustaz Ahmad Tirmizi semasa program Wacana Al-Quran Siri ke-40 bertajuk ‘OKU: Aset Negara’ yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazrul, Siti Zailah (dua dari kiri) bersama Ustaz Mustafar (dua dari kanan) dan Ustaz Ahmad Tirmizi semasa program Wacana Al-Quran Siri ke-40 bertajuk ‘OKU: Aset Negara’ yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan terus memperkasakan golongan kurang upaya (OKU) agar mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat serta prihatin terhadap golongan terbabit.

Justeru, kata beliau, golongan itu tidak harus berasa diri mereka terpinggir dalam masyarakat kerana mereka turut memiliki hak dan keistimewaan seperti rakyat lain.

“Di KPWKM, kita sangat mengambil berat tentang OKU dan terdapat jabatan khusus berkaitan golongan ini yang sentiasa menyantuni mereka.

“Selain kita berusaha untuk merangka, melaksanakan pelbagai program serta mengupayakan mereka agar mereka dapat berdaya saing sama seperti manusia normal.

“Kita turut menyediakan program jati diri serta latihan kemahiran selain pendidikan agar mereka ini dapat membina keyakinan diri serta mencungkil bakat yang ada dalam diri agar mereka ini dapat berdikari dan tidak merasakan diri mereka tersisih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran Siri ke-40 bertajuk ‘OKU: Aset Negara’ yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam (Jumaat).

Pada program itu, beliau bersama Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Ustaz Mustafar Mohd Suki sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang membaca surah Al-‘Abasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Siti Zailah berkata, kemudahan bahasa isyarat melalui saluran perdana turut disediakan bagi memudahkan golongan OKU mendapat sumber berita sahih dan tepat terutama berkaitan pandemik Covid-19 ini.

“Mereka dapat memahami prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi serta arahan-arahan terkini daripada kerajaan dalam mengekang wabak Covid-19 ini.

“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Telekom Malaysia untuk melancarkan aplikasi Save Me 999 iaitu aplikasi khas untuk mereka hubungi sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

“Kita juga menyediakan Talian Kasih iaitu 15999 yang beroperasi 24 jam atau melalui WhatsApp di talian 09-2615999 untuk golongan OKU ini berinteraksi sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah, selain menyediakan laman web khas untuk capaian OKU untuk memudahkan mereka mendapatkan segala maklumat atau apa-apa yang disalurkan kerajaan,” katanya.

Siti Zailah
Siti Zailah

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pihaknya sentiasa berusaha supaya golongan istimewa itu menikmati segala kemudahan yang disediakan kerajaan setara dengan insan normal.

“Kita sentiasa pastikan mereka tidak terpinggir dari aspek kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan penyertaan dalam semua bidang termasuk politik, sosioekonomi dan budaya. Hak ini kita beri kepada mereka sama rata.

“Kita lihat bagaimana OKU dilantik di Dewan Negara dan mereka berhak menyuarakan hak-hak OKU di peringkat dasar negara. Di peringkat antarabangsa, kita turut membincangkan isu-isu berkaitan OKU untuk memastikan mereka ini sentiasa diberi perhatian selain mengatasi masalah kemiskinan dengan meningkatkan sosioekonomi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga kini dalam usaha untuk melahirkan pendakwah dalam kalangan OKU bagi membantu menyampaikan dakwah kepada golongan berkenaan.

“Dakwah kepada OKU adalah satu bidang yang sangat penting kerana mereka juga perlu tahu tentang ilmu agama, mengenai fardu ain, dari sudut kebersihan diri, ibadah, membaca al-Quran dan sebagainya.

“Kita memerlukan tenaga pendakwah yang mahir terutama yang boleh berdakwah kepada golongan ini. Jadi OKU ini perlu dilatih dan kita di kementerian sedang berusaha untuk melahirkan pendakwah dalam kalangan mereka supaya ia (dakwah) lebih mudah difahami,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Siti Zailah turut menasihati ibu bapa serta masyarakat yang mempunyai anak OKU agar tidak menyisihkan mereka untuk bersama-sama menikmati hidup dalam suasana kekeluargaan.

Ujarnya, ALLAH SWT menciptakan OKU sebagai ujian kepada ibu bapa selain menunjukkan kehebatan serta kebesaran-NYA.

“Potensi yang ada pada mereka sangat besar, jadi saya menyeru kepada ibu bapa serta masyarakat untuk sama-sama kita bina potensi mereka dan beri dorongan serta semangat untuk menjadikan mereka insan berjaya.

“Jangan pandang sepi kepada mereka kerana mereka dianugerahkan ALLAH SWT sebagai ujian kepada kita dan semestinya kita harus memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya.