Taktik pemangsa jerat gadis remaja di media sosial

Jenayah seksual kini bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga turut berisiko.
Jenayah seksual kini bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga turut berisiko.
A
A
A

PERBUATAN jenayah pada era moden ini sememangnya melangkaui batas dan ada kalanya tidak tercapai akal fikiran sekali gus membuka mata kita mengenai sejauh manakah pengaruh media sosial dan internet kepada masyarakat kita.

Hari ini, bukan sahaja golongan dewasa terdedah menjadi mangsa perbuatan jenayah, malah lebih memilukan apabila wujudnya kes yang melibatkan kanak-kanak yang dijadikan sebagai bahan pornografi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini terbukti menerusi kes-kes yang dilaporkan sebelum ini, antaranya perbuatan seorang bapa mencabul dan meliwat anak perempuannya berusia tiga tahun serta merakam perbuatan tersebut selain seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dicabul bapa saudara pengasuhnya.

Apa yang hendak dirungkai ini adalah apakah puncanya dan mengapa ia boleh berlaku?

Siti Kamsiah menunjukkan statistik kes yang dilaporkan kepada pihaknya sejak tahun 2016 hingga Oktober lalu. - FOTO ROSLI TALIB
Siti Kamsiah menunjukkan statistik kes yang dilaporkan kepada pihaknya sejak tahun 2016 hingga Oktober lalu. - FOTO ROSLI TALIB

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, apa yang berlaku hari ini, dengan kecanggihan teknologi serta kemudahan akses internet, menjadi antara faktor berlakunya jenayah terbabit.

“Di internet, terdapat bahan lucah atau porno kanak-kanak yang boleh diakses serta dikongsi. Ini sekali gus menarik individu pedofilia.

“Malah, berdasarkan laporan yang diterima, ada individu yang mengaut untung menjual gambar atau video lucah kanak-kanak dalam dark web atau medium lain.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, faktor lain ialah ketaasuban berkongsi di media sosial. Ada kes mangsa sendiri seronok berkongsi gambar mereka tanpa menyedari diri mereka sebenarnya sedang diperhatikan.

“Ini lebih membimbangkan sekiranya tidak dipantau oleh ibu bapa yang meletakkan kepercayaan penuh kepada anak mereka,” katanya kepada Sinar Harian dalam temu bual khas baru-baru ini.

Mendedahkan lebih lanjut tentang modus operandi jenayah ini, Siti Kamsiah berkata, suspek akan mengambil kesempatan mendekati mangsa di media sosial dengan cara berkenalan pada peringkat awal sebagai rakan.

Siti Kamsiah berkata, mangsa biasanya ialah kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun yang gemar mendedahkan diri di media sosial dan internet seperti Facebook, WeChat, Instagram serta MiChat.

“Apabila suspek berjaya mendekati mangsa, suspek akan mula ke aplikasi yang lebih privasi seperti WhatsApp dan akan menarik minat mangsa dengan memuji kecantikannya, menggunakan ayat-ayat manis dan sebagainya sehingga akhirnya mangsa terbuai seronok dan tertarik.

“Lama-kelamaan, akan timbul rasa sayang mangsa terhadap suspek hingga suspek berani melakukan perkara berunsur seksual seperti berbual lucah, menghantar video seks dan seumpamanya.

“Sampai ke tahap ini, mangsa akan menaruh kepercayaan terhadap suspek sehinggakan mangsa tergamak berkongsikan gambar dan video tidak senonohnya,” katanya.

Impak

Menurutnya, tanpa disedari mangsa sebenarnya telah terperangkap dan akhirnya diugut suspek untuk menyebarkannya.

Hal sedemikian mengakibatkan mangsa yang malu berasa takut dan akur dengan permintaan suspek untuk mendapatkan gambar atau video yang dimahukan.

Tambahnya, berdasarkan kes yang dilaporkan sebelum ini, ada mangsa yang berkongsi gambar sulit dengan teman lelakinya, namun selepas berpisah pasangannya telah menyebarkan gambar tersebut di dalam grup media sosial.

“Tidak dinafikan kebanyakan kes adalah melibatkan mangsa memberikan gambar lucah secara sukarela kepada kekasih sebelum tersebar selepas hubungan mereka putus,” katanya.

Penglibatan seseorang dalam melayari, menyimpan, memiliki dan mengedarkan pornografi kanak-kanak dikenal pasti sebagai masalah mental yang menganggap perbuatan melihat aksi seksual kanak-kanak sebagai menyeronokkan dan memberi kepuasan.

“Soal siasat polis terhadap suspek juga mendapati mereka mengakui seronok apabila bahan-bahan yang dikongsikan mendapat perhatian dan permintaan khususnya daripada mereka yang cenderung melihat pornografi kanak-kanak.

“Kegiatan ini turut dilakukan untuk mengaut untung termasuk jual beli online, malah ia tidak terbatas hanya di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2019, jenayah pornografi kanak-kanak telah memberikan impak yang besar kepada jenayah lain sama ada terhadap kanak-kanak atau orang dewasa.“Pada tahun 2019, kes rogol mencatatkan 936 kes, rogol berkumpulan (28), sumbang mahram (196) dan cabul (701).

“Pada tahun ini sahaja setakat Oktober, kes rogol (833), rogol berkumpulan mencatatkan peningkatan dengan 54 kes, sumbang mahram (176) serta cabul (521),” katanya.

Jelasnya, kecenderungan menonton pornografi akan mengakibatkan ketagihan dan mempengaruhi minda serta tingkah laku.

“Ini sekali gus akan mendorong mereka mencari mangsa kanak-kanak untuk melepaskan gian. Contoh kes di Kuantan, Pahang baru-baru ini, suspek tergamak mencabul kanak-kanak bawah umur dengan mencucuk pensel pada kemaluannya,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertindak menyekat 12 laman web pornografi kanak-kanak dan dewasa.

“Selain itu, empat grup di Telegram dan Twitter turut disekat. Tindakan sekatan ini dibuat hasil maklumat daripada agensi penguat kuasa antarabangsa selain dikesan susulan penahanan suspek. “Dengan penahanan suspek, kita akan kenal pasti grup dan laman web pornografi terlibat. Polis juga menggesa mangsa atau orang ramai tampil beri maklumat untuk tindakan segera,” katanya.

Suka pamer gambar anak tarik minat pedofilia

Menurut Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, di Malaysia tidak ada definisi khusus dalam perundangan beraitan pedofilia.

“Pedofilia adalah istilah klinikal yang merujuk kepada golongan psikiatri (psychiatric disorder) di mana kecenderungan seksual orang dewasa terhadap kanak-kanak yang belum atau baru memasuki fasa akil baligh iaitu umur 10 atau 11 tahun bagi kanak-kanak perempuan, 11 atau 12 tahun bagi kanak-kanak lelaki dengan titik usia pradewasa sehingga umur 13 tahun.

“Di Malaysia pelaku jenayah kanak-kanak dikenali sebagai pesalah seksual kanak-kanak dan tidak semestinya adalah pedofilia. Namun, tidak dinafikan dalam kalangan pesalah seksual terbabit, terdapat juga golongan pedofilia berdasarkan pengakuan mereka yang mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Kebanyakan pesalah seksual ini melakukan kesalahan terbabit disebabkan ruang dan peluang memandangkan sifat kanak-kanak yang lemah dan kurang keupayaan diri dari segi fizikal dan mental.

Malah, tambah Siti Kamsiah, golongan pelaku (suspek) boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

“Daripada tangkapan yang kita buat setakat ini, suspek terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah dalam kalangan pekerja di sektor profesional, tidak bekerja dan lain-lain.

“Berdasarkan kajian klinikal, secara umumnya seseorang itu akan didiagnosis sebagai pedofilia apabila mereka mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

“Perbuatan melayari dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah. Ia tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang.

“Mengakses pornografi kanak-kanak bermakna menyokong jenayah penghasilan pornografi terbabit. Secara tidak langsung ia membuka ruang kepada penjenayah terbabit,” katanya.

Ibu bapa perlu berhati-hati dengan jenayah seksual pemangsa pedofilia.
Ibu bapa perlu berhati-hati dengan jenayah seksual pemangsa pedofilia.

Sehubungan itu, katanya, lebih ramai kanak-kanak akan menjadi mangsa bagi memuaskan nafsu pelaku yang menggemari pornografi kanak-kanak.

Katanya, sekiranya didapati menyimpan dan mengakses, pelaku boleh ditangkap tanpa waran dan jika disabit salah boleh dihukum penjara lima tahun, sebat dan denda sehingga RM10,000.

“Hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi penguat kuasa dari dalam dan luar negara, kita akan berupaya mengesan pelaku yang berkongsi pornografi kanak-kanak secara online.

“Usah terkejut kalau polis datang mengetuk pintu rumah anda,” katanya.

Pantau anak

Ujarnya, ibu bapa terutamanya adalah individu paling penting dalam memastikan dan memantau anak-anak mereka.

“Amat perlu ditekankan penerapan nilai murni. Hari ini pendedahan elemen negatif terlalu banyak. Sebagai ibu bapa, kita perlu beritahu dan ingatkan anak apa yang salah dan tidak.

“Zaman ini tidak sama macam zaman dahulu. Kalau dulu kanak-kanak itu sendiri rasa malu untuk bersentuhan dengan berlainan jantina terutama bagi golongan remaja kerana didikan mengenai adab, tatasusila dan soal moral itu melekat dalam minda mereka. Tambahan pula tiada pendedahan tentang perlakuan seksual berlaku secara terang-terangan di depan mata.

“Tetapi hari ini, walaupun adab bergaul antara lelaki dan perempuan itu diajar namun disebabkan pendedahan yang berleluasa tentang aksi-aksi lucah dan seksual di internet menyebabkan kanak-kanak sukar hendak bezakan perkara itu salah atau ia suatu yang normal untuk dipraktikkan.

“Tambahan pula ada yang mengambil kesempatan, menyebabkan kanak-kanak ini mudah terdorong untuk mempraktikkan apa yang dilihat.

“Pihak polis amat mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa kerana ia bermula dari rumah. Kena pantau anak kita, beri ilmu dan nilai-nilai murni kepada mereka,” katanya.

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 28 Oktober lalu atas pertuduhan merogol anak tirinya berusi 12 tahun pada tahun ini.
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 28 Oktober lalu atas pertuduhan merogol anak tirinya berusi 12 tahun pada tahun ini.

Tambahnya, amat membimbangkan kerana terdapat kes yang diterima pihaknya dua tahun lalu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun yang dirogol oleh beberapa kanak-kanak lelaki juga berusia tujuh tahun di sekolah berpunca daripada menonton video lucah di telefon bimbit.

“Ini yang harus ditekankan, ibu bapa perlu kawal mana yang perlu berkaitan gajet dan internet. Pantau ikut umur dan perlu bijak gunakan gajet. Diingatkan juga agar kurangkan juga posting gambar anak-anak yang boleh menarik minat golongan pedofilia,” katanya.

Ujarnya, masyarakat dan pihak sekolah juga perlu mainkan peranan selain kerjasama pihak polis bersama agensi lain seperti serta badan bukan kerajaan dalam mengatasi jenayah ini.