Rakyat bimbang kes jenayah seksual kian meningkat

Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan menyiasat kes jenayah seksual dan menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap si pelakunya.
Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan menyiasat kes jenayah seksual dan menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap si pelakunya.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia melahirkan rasa bimbang apabila kes jenayah seksual di negara ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan meminta supaya kerajaan mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut.

Menurut seorang peguam syarie, Nurul Syafawani Rahim, kes-kes melibatkan jenayah itu bukanlah perkara baharu wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kata beliau, terdapat kes-kes tertentu yang menjadi tumpuan masyarakat kerana melibatkan personaliti popular dan perbuatan yang dilakukan di luar fikiran normal.

“Antara punca berlakunya jenayah seksual itu ialah disebabkan oleh pendedahan berleluasa kepada pornografi dan tiada maklumat awal berkenaan jenayah seksual terhadap kanak-kanak menyebabkan mereka tidak tahu bahawa ia adalah merupakan suatu kesalahan.

Nurul Syafawani
Nurul Syafawani

“Pendedahan yang tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya ketagihan pornografi yang boleh menjurus kepada berlakunya jenayah seksual,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Nurul Syafawani yang berkhidmat di Tetuan Ikbal Salam & Associates berkata, jenayah seksual boleh dikategorikan sebagai penderaan seksual, serangan seksual dan keganasan seksual.

Ujar beliau, menerusi laporan Women Aids Organisation (WAO), jenayah rogol ialah berkenaan dengan perasaan, kawalan dan juga dominasi.

Artikel Berkaitan:

“Elemen kepercayaan, keinginan dan keizinan membezakan kesalahan jenayah itu sama ada ia sumbang mahram, rogol atau rogol statutori dengan kanak-kanak bawah umur.

“Jenayah seksual boleh berlaku terhadap mana-mana individu tanpa mengira peringkat umur, hubungan dan status individu yang melakukan jenayah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syafawani berkata, kerajaan perlu mewujudkan suatu pangkalan data senarai penjenayah seksual yang boleh diakses dan mesra pengguna supaya orang ramai lebih berhati-hati dan mempunyai maklumat mengenai penjenayah seksual tersebut.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meneliti kembali hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang yang berkaitan berdasarkan statistik jenayah seksual terkini,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu memperluaskan rondaan secara berkala di kawasan-kawasan panas dan menghidupkan kembali pondok polis yang lebih mesra kepada orang awam.

“Ini bertujuan bagi memudahkan mangsa melaporkan segala perilaku jenayah seksual di kawasan berhampiran dengan segera mungkin.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu lebih proaktif dalam memberi perlindungan segera kepada mangsa jenayah seksual supaya dapat mengelakkan kesan trauma yang lebih buruk kepada mangsa,” katanya lagi.

Ivy Josiah - Foto Awangputeh
Ivy Josiah - Foto Awangputeh

Sementara itu, bekas Pengarah WAO, Ivy Josiah berkata, beliau berasa marah apabila golongan wanita dilayan tanpa sebarang rasa hormat.

“Kebanyakan mangsa sering dicabul atau diganggu di tempat awam seperti di stesen bas, stesen LRT dan juga pejabat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu merancang program pendidikan tentang keganasan terhadap wanita terutamanya untuk mendidik kaum lelaki supaya menghormati wanita, bukan menggunakan kekerasan sebagai simbol kuasa.

Tegas Ivy, wanita yang diperkosa kerana mereka dikatakan mempunyai status sosial yang rendah dalam kalangan masyarakat dan juga keluarga.

“Oleh sebab itu, wanita sering ditindas dan dilayan tidak sama adil,” katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dengan menyiasat kes berkaitan jenayah seksual itu dan menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap si pelakunya.

“Oleh kerana ramai sangat penjenayah sering terlepas daripada tindakan mahkamah, mereka berasa lega apabila kesalahan mereka tidak dikenakan hukuman yang setimpal,” kata Ivy.