Yusri pikul tanggungjawab besar

Yusri bercakap pada sidang media mengenai penubuhan Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Foto Bernama
Yusri bercakap pada sidang media mengenai penubuhan Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengakui berdepan tanggungjawab berat untuk mengendalikan barisan pemain muda yang bakal beraksi pada saingan Liga Premier musim depan.

Bagaimanapun, Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau sedia memikul jawatan dan tanggungjawab itu sebaik mungkin sebagaimana yang telah diamanahkan.

“Jawatan ini cukup besar buat saya sepanjang bergelar jurulatih. Pastinya ia bukan mudah dan sasaran saya adalah bagaimana untuk mengetengahkan pemain muda yang ada untuk bermain di peringkat tertinggi dan menyediakan mereka untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Kita juga perlu sedar ramai pemain berbakat di negara ini yang mungkin kita terlepas pandang dan kewujudan pasukan ini akan memberikan peluang untuk mereka menonjolkan keupayaan,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah menjalin usaha sama bagi membentuk sebuah pasukan yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN.

Skuad Bawah 20 tahun itu akan dibarisi seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), produk Piala Belia, Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Mengulas lanjut, Yusri menegaskan, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam penampilan sulung mereka di pentas Liga Premier musim depan memandangkan anak-anak buahnya dibentuk sebagai teras untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Apa yang saya boleh katakan di sini bagaimana saya memberikan peluang kepada pemain untuk mendapatkan pendedahan dalam Liga Premier dan seberapa banyak pemain yang boleh diketengahkan untuk membantu pasukan negara. Itu adalah sasaran kita.

Artikel Berkaitan:

“Semua perlu sedia maklum bahawa pemain yang akan membarisi skuad ini adalah pemain muda. Jadi, saya mengharapkan program ini akan mendapat sokongan semua pihak, apatah lagi ia antara platform dalam memberikan peluang kepada pemain-pemain muda,” ujarnya.

Sebagai rekod, Yusri memiliki 42 penampilan di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan dari 1997 hingga 2002 serta pernah menyarung jersi Perlis, Selangor dan Perak sebelum bersara pada 2007.

Anak jati Kangar itu yang memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 berpengalaman membawa skuad Perlis di peringkat Piala Presiden serta Sukan Malaysia (Sukma), pasukan MyKids dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) selain Felcra FC, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Bersama Skuad Projek FAM-MSN, Yusri, 44, akan dibantu penolong jurulatih, Noor Zaidi Rohmat, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal) dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.