Pelantikan Yusri Che Lah bukan tangkap muat

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PELANTIKAN bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dibuat secara semberono atau sekadar ‘tangkap muat’.

Sebaliknya, Penolong Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee memaklumkan, pelantikan bekas pengendali Kelantan dan Kuala Lumpur itu dibuat menerusi satu proses yang teliti sebelum diputuskan secara kolektif oleh pihak terlibat.

Menurut Kim Swee, pengalaman luas dimiliki Yusri sebagai jurulatih dan pemain kebangsaan juga menjadikan beliau individu tepat membimbing Skuad Projek FAM-MSN itu yang diumumkan secara rasmi kelmarin.

"Pelantikan Yusri bukan saja hanya pelantikan biasa, kita tahu beliau mempunyai pengalaman luas sebelum ini dengan pemain muda. Kita dapat lihat daripada segi statistik, Yusri menurunkan ramai pemain muda ketika beliau bersama Kelantan mahupun pasukan Kuala Lumpur.

"Saya rasa ini pemilihan yang cukup tepat dan Yusri mempunyai pengalaman bukan sahaja sebagai jurulatih tetapi juga pemain kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman pasukan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya kelmarin.

Yusri memiliki 42 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dari 1997 hingga 2002 selain pernah beraksi untuk pasukan Perlis, Selangor dan Perak sebelum bersara pada 2007.

Anak jati Kangar, Perlis itu yang memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 berpengalaman membawa skuad Perlis di peringkat Piala Presiden serta Sukan Malaysia (Sukma), pasukan MyKids dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Felcra FC, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Bersama Skuad Projek FAM-MSN, Yusri akan dibantu penolong jurulatih Noor Zaidi Rohmat, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal) dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.

Artikel Berkaitan:

Skuad Projek FAM-MSN merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.