Polis siasat kes pelaburan emas babit kerugian lebih RM440,000

Suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang pelaburan jual beli emas dengan berjumpa mangsa bagi menyakinkannya untuk melabur. - Foto 123RF
Suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang pelaburan jual beli emas dengan berjumpa mangsa bagi menyakinkannya untuk melabur. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penipuan pelaburan jual beli emas membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM440,771.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 30 hingga 70 peratus itu dikendalikan seorang suspek wanita berumur 32 tahun yang telah ditahan pada Mac lepas.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan telah dikesan sejak Jun tahun lepas sehingga Ogos tahun ini dan sebanyak 15 laporan polis telah diterima.

"Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang pelaburan jual beli emas dengan berjumpa mangsa bagi menyakinkannya untuk melabur.

"Mangsa yang terpedaya akan membuat bayaran dengan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank antaranya dua akaun bank (bank tempatan) masing-masing dipunyai suspek dan seorang lagi wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, suspek juga mempunyai ejen untuk mempromosikan pelaburan jual beli emas berkenaan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan pelaburan tanpa sebarang dokumen sokongan, kenyataan dan menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau berkata, pada 2 Mac lepas, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan di Mahkamah Seksyen Kajang, manakala dua kes lagi masih dalam siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Senarai Waspada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum buat keputusan melabur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PDRM sentiasa mengutamakan usaha menurunkan kadar jenayah khususnya bagi kes-kes penipuan yang berlaku selain penglibatan dan kerjasama masyarakat juga amat penting bagi sama-sama membanteras gejala jenayah daripada terus berleluasa. - Bernama