Selangor hanya import sisa plastik bersih, berkualiti

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak akan menghentikan pengimportan plastik walaupun terdapat isu pembuangan sisa berkenaan dari negara luar ke negeri ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, langkah ini berikutan terdapat kilang pemprosesan sisa plastik yang diimport telah diuruskan dengan baik di negeri ini.

“Ada kilang yang buat perniagaan yang betul dan mereka juga ada hak untuk dapatkan plastik ini untuk diproses.

“Kita kena tahu ada banyak kilang yang mengusaha dengan baik. Kalau kita katakan hentikan semua ini tak adil kepada mereka kerana mereka dah labur sejumlah wang yang sangat besar, berjuta-juta,” katanya ketika berucap di Sidang Dun hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai soalan tambahan daripada Adun PH-Ijok Dr Idris Ahmad yang bertanyakan bagaimana Selangor boleh mendapat plastik daripada negara luar dan apakah tindakan drastik yang dilakukan oleh kerajaan negeri seperti pembatalan permit import (AP).

Sebelum ini, portal berita luar negara, RadioNZ dalam satu laporan mendedahkan bahawa ribuan tan sisa plastik dari New Zealand dikatakan dibawa masuk ke negara ini selepas China mengharamkan import sisa plastik ke negara.

Laporan itu menyebut hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom, Kuala Langat membayar dan membuang air tercemar selepas mencuci sisa plastik sampah itu.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata pengeluaran AP itu telah dikeluarkan semasa zaman pemerintahan BN lagi dimana ketika itu mereka masih memegang kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Zaman pemerintahan BN mereka keluarkan AP kepada pengusaha kilang import plastik, berlaku sebelum PRU14 di mana AP telah disalahgunakan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Loy Sian yang merupakan Adun Kajang turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa kategori plastik iaitu kotor, tidak berkualiti, bersih dan berkualiti.

“Kita hanya benarkan pada masa akan datang pengimportan plastik yang bersih dan berkualiti yang boleh buat kitar semula,” katanya.

Di samping itu, Loy Sian turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai jumlah bilangan kilang pemprosesan yang menguruskan sisa plastik di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, di Kuala Langat terdapat 55 kilang kitar semula yang menguruskan sisa plastik dan daripada jumlah itu 33 daripadanya beroperasi secara haram, 17 secara sah dan lima lagi masih memerlukan pemulihan berikutan terletak di lokasi zon industri.

[ARTIKEL BERKAITAN: MB haram kilang proses sisa plastik di Selangor]