Time namakan Biden, Harris 'Person of the Year'

Muka depan majalah Time yang memaparkan Biden dan Harris dengan tajuk Changing America's story (Mengubah kisah Amerika). - Foto Agensi
Muka depan majalah Time yang memaparkan Biden dan Harris dengan tajuk Changing America's story (Mengubah kisah Amerika). - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris semalam dinamakan sebagai 'Person of the Year' oleh majalah Time kelmarin atas kejayaan mereka merebut jawatan di Rumah Putih pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.

"Kerana mengubah sejarah Amerika, kerana menzahirkan kekuatan empati dan berkongsi visi yang memberi harapan baharu ketika dunia sedang berduka," kata Time dalam satu kenyataan ketika menjelaskan kriteria pemilihan kedua-dua pemimpin Demokrat tersebut.

Biden dan Harris dikatakan sekali lagi 'menewaskan' Presiden Donald Trump yang turut tercalon dalam kategori sama.

Muka depan majalah Time turut memaparkan potret Biden, 78, dan Harris, 56, dengan tajuk Changing America's story (Mengubah kisah Amerika).

Time turut memuji pasukan Demokrat terbabit kerana berjaya menewaskan Presiden yang berkuasa buat kali ke-10 dalam sejarah AS.

Sebelum ini, Biden diisytiharkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 terbabit selepas beliau meraih 306 undi elektoral berbanding 232 yang diperoleh Trump.

Sejak tahun 1927, Time memberikan pengiktirafan kepada individu yang paling banyak memberi impak kepada berita global pada setiap tahun.

Difahamkan, Harris merupakan bakal Naib Presiden pertama yang dinamakan sebagai 'Person of the Year'. - Agensi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Amerika sudah kembali'

Kamala Harris wanita pertama Naib Presiden AS

Trump 'You're fired', Biden kini Presiden AS