X

Kindly register in order to view this article
!

Dua suspek kes samun diberkas

Antara barang yang dirampas polis berikutan penahanan dua lelaki terlibat kes samun di Johor Bahru pada 4 Disember lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan dua lelaki tempatan semalam kerana disyaki terlibat kes samun di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dua lelaki itu ditahan dalam dua serbuan berasingan dari jam 5 petang hingga 8 malam di kawasan Masai di sini.

"Kedua-dua suspek tersebut berusia 28 dan 41 tahun. Menerusi serbuan berkenaan, polis merampas tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang dan dua bilah pisau pemotong daging.

"Turut dirampas tiga topi keledar, dua helai jaket, satu 'pouch beg', sepasang kasut dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah motosikal dirampas polis dipercayai digunakan dua lelaki terlibat untuk melakukan samun di Johor Bahru pada 4 Disember lalu.
Sebuah motosikal dirampas polis dipercayai digunakan dua lelaki terlibat untuk melakukan samun di Johor Bahru pada 4 Disember lalu.

Beliau berkata, suspek sebelum ini terlibat dalam kegiatan samun seorang lelaki kira-kira jam 8.10 malam pada 4 Disember lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu baru terlibat dengan kegiatan tersebut dalam bulan ini kerana pemeriksaan mendapati tiada kes samun melibatkan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, semakan mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa menggunakan senjata api," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!