Mekanik rugi ditipu 'pegawai polis'

Kereta Proton Waja yang dirampas.
Kereta Proton Waja yang dirampas.
A
A
A

JASIN - Seorang mekanik kerugian RM1,500 selepas ditipu dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis di Serkam Pantai di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa berusia 58 tahun didatangi suspek yang mendakwa kenderaan miliknya yang dipinjam seorang lelaki terlibat dalam kes rompak kedai judi dalam talian dan mencederakan orang.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kenderaan dan diminta membayar wang berjumlah RM2,000 untuk menutup kes itu.

"Mangsa yang bersetuju telah membayar wang berjumlah RM700 dan RM800 di dua lokasi berbeza.

"Namun mula tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki berkenaan di Perigi Hang Tuah, Kampung Duyong dan menemui wang tunai berjumlah RM800 yang dipercayai diterima daripada mangsa.

Katanya, dalam serbuan dilakukan, polis merampas sebuah kereta Proton Waja dan wang tunai berjumlah RM800 yang disyaki wang diterima daripada mangsa.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik.

Artikel Berkaitan:

“Soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes pemerasan dan mengaku sebagai penjawat awam,” katanya.

Mispani berkata, kedua-dua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 15 Disember.