Covid-19: 1,810 kes baharu, enam kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu jangkitan Covid-19 di Malaysia kekal empat digit dengan mencatatkan 1,810 kes hari ini dengan enam lagi kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 80,309 kes dengan jumlah kes aktif 12,734, manakala jumlah maut akibat pandemik itu setakat ini ialah 402 orang.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,799 kes," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 terkini di sini hari ini.

Memperincikan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes, diikuti Sabah sebanyak 532 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 132 kes.

Manakala jumlah sembuh ialah 937 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 67,173 kes dan sehingga kini, terdapat 123 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 63 kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Bagi pecahan kes mengikut negeri, selain Selangor, Sabah dan Kuala Lumpur yang mencatat kes yang tinggi, Pahang pula mencatat 96 kes, Johor (69 kes), Negeri Sembilan (64) dan Pulau Pinang (34).

Manakala Kedah mencatat 22 kes, Perak (12), Labuan (8), Melaka (5), manakala Kelantan, Terengganu dan Putrajaya masing-masing mencatat dua kes serta Sarawak satu kes.

Kesemua yang meninggal dunia pula melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita warganegara Malaysia berusia antara 63 dan 81 tahun, masing-masing lima di Sabah dan seorang di Pulau Pinang. - Bernama

Artikel Berkaitan: