[EKSKLUSIF] Isu Exco Perak: Status quo Pas, Bersatu kekal

Saarani (tiga dari kiri) bersama lima ADUN yang diperkenan lantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.
Saarani (tiga dari kiri) bersama lima ADUN yang diperkenan lantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Teka-teki mengenai kedudukan terkini tambahan lima jawatan Exco dalam kerajaan baharu Perak dijangka selesai selepas usul pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2021 dengan status quo semua parti akan dikekalkan.

Sumber dalaman UMNO Perak berkata, berdasarkan perbincangan terkini melibatkan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, kesemua pihak bersetuju peruntukan dua kerusi Exco untuk Pas dan empat kerusi Exco untuk Bersatu dikekalkan sebagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.

Menurutnya, memandangkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sudah dilantik sebagai Menteri Besar Perak, kerusi Exco kanan disandangnya sebelum ini diserahkan kepada Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

"Faktor utama mengapa hanya lima Exco Kerajaan Negeri diperkenan pelantikan awal oleh baginda Tuanku Sultan Perak adalah bagi memenuhi syarat membentangkan usul Belanjawan Negeri Perak 2021 yang dijangka diadakan pada 16 Disember ini.

"Insya-ALLAH tambahan jawatan Exco Kerajaan Negeri lain dijangka menyusul selepas itu dengan semua parti akan mengekalkan status quo termasuk Pas," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Pemimpin UMNO Perak itu berkata demikian sewaktu mengulas persoalan sama ada wakil Pas akan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Perak dalam kerajaan baharu yang diketuai UMNO ketika ini.

Terdahulu, Pas Perak meluahkan keyakinan parti itu tidak akan diketepikan dalam pelantikan Exco kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria melahirkan keyakinan itu berikutan semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terbina di antara Pas dan UMNO akan terus kekal.

Artikel Berkaitan:

Razman Zakaria
Razman Zakaria

Ditanya sama ada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak, sumber UMNO berkenaan dengan tegas mengatakan, "Tidak."

Semalam, seramai lima Exco dilantik yang turut membabitkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Empat lagi ADUN yang mengangkat sumpah merupakan Exco sebelum ini yang kesemuanya dari UMNO iaitu ADUN Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Zainol Fadzi Paharuddin
Zainol Fadzi Paharuddin

Sementara itu, Saarani dalam satu kenyataan menegaskan baki kekosongan jawatan lima Exco Kerajaan Negeri akan dibuat bergantung kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, sehingga kini cadangan nama itu tidak akan didedahkan dari segi perincian dan komposisi parti yang akan mengisi jawatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Baki lima Exco Perak terserah perkenan Sultan Nazrin: Saarani

Zainol Fadzi antara lima ADUN terima lantikan Exco