8 ahli sindiket pelaburan didenda RM3,000

Seramai lapan ahli sindiket pelaburan termasuk seorang wanita didenda RM3,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menawarkan pelaburan dalam talian yang tidak wujud, bulan lepas. Foto 123RF
Seramai lapan ahli sindiket pelaburan termasuk seorang wanita didenda RM3,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menawarkan pelaburan dalam talian yang tidak wujud, bulan lepas. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan ahli sindiket pelaburan termasuk seorang wanita didenda RM3,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menawarkan pelaburan dalam talian yang tidak wujud, bulan lepas.

Majistret, Mohamad Fared Abdul Latif mengenakan denda itu ke atas dua warga China, Long Ke, 29, dan Chen Guo Rong, 24, serta lima lelaki warga tempatan, Tee Ming Shen, 35, Thong Kai Zong, 23, Heng Suan Ping, 18, Ong Chew Wie, 23, Ong Lim Zhi Hou, 20, dan seorang wanita warga tempatan Lai Lok Yau, 22, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pakatan jahat dengan melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pelaburan tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di sebuah hotel di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini, antara pukul 5 petang hingga 8.35 malam, 28 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam P. Muniswer yang mewakili kesemua tertuduh memohon denda yang rendah dengan memberi aku janji bahawa anak-anak guamnya tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, seramai 21 lagi ahli sindiket pelaburan warga China berumur antara 17 hingga 30 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Dua daripada mereka iaitu He Jia En, 25, dan Chen Rong, 19, masing-masing turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masuk ke Malaysia dan berada di negara ini tanpa memiliki pas sah di sisi undang-undang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 4.30 petang, 2 Disember lepas, mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fared tidak menawarkan jaminan bagi kesemua 21 tertuduh dan menetapkan 30 Dis ini untuk sebutan semula kes di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dan 22 Februari untuk sebutan bagi kes tidak memiliki pas.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, polis mengesyaki 29 individu terbabit terlibat dalam penipuan pelaburan antarabangsa dalam talian yang dikenali sebagai SCI e-commerce sejak sebulan lepas, dan hasil siasatan mendapati mereka menyewa 20 bilik di hotel berkenaan dengan bayaran RM100 sebulan bagi setiap bilik bagi melakukan aktiviti tersebut. - Bernama