Masalah air di Gebeng selesai tahun 2022

Wan Rosdy (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Sallehuddin yang mewakili kerajaan Pahang dengan Setiausaha Bahagian Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan, Mohd Sakeri Abdul Kadir.
Wan Rosdy (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Sallehuddin yang mewakili kerajaan Pahang dengan Setiausaha Bahagian Strategik Badan Berkanun Kementerian Kewangan, Mohd Sakeri Abdul Kadir.
A
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di sini akan bermula Jun tahun depan dan dijangka siap pada Disember 2022.

Projek bekalan air dengan kos sebanyak RM115 juta itu dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di Gebeng dan Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, apabila siap kelak, projek itu mampu membekalkan kira-kira 90 juta liter air sehari.

Menurutnya, projek itu penting bagi menyediakan keperluan air kepada industri terutama di kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan.

"Projek ini juga sebagai alternatif dan penambahbaikan kepada sumber bekalan air sedia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen perjanjian pinjaman projek pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng antara kerajaan Pahang dengan kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek ECERDC, Arizan Arifin berkata, projek itu penting untuk keperluan air di kawasan Gebeng dan ia perlu disiapkan selewat-lewatnya pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia juga berikutan jangkaan kemasukan dua pelabur besar di MCKIP dengan nilai pelaburan RM1 billion.

"Projek pembinaan paip agihan dari Tangki Bukit Kolam di Kemaman ke Bukit Pengorak di sini melibatkan jarak sepanjang 29 kilometer.

"Daripada keseluruhan panjang paip tersebut, lima kilometer melibatkan kawasan di dalam daerah Kemaman dan 24 kilometer lagi di kawasan Kuantan," katanya.

Beliau berkata, bekalan air melalui projek itu bukan sahaja untuk bekalan air di kawasan Gebeng, malah ia juga boleh disalurkan ke kawasan-kawasan sekitar berdasarkan keperluan.

"Dengan adanya projek ini, bekalan air ke kawasan Gebeng yang sebelum ini bergantung kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semambu akan ditambah baik, apatah lagi loji itu (Semambu) juga bakal dinaik taraf dan dijangka siap pada tahun 2025," katanya.