'Tiada parti Melayu, Islam tidak terikat parti kaum lain'

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Krisis kerajaan negeri di Perak membuktikan tiada satu parti Melayu dan Islam yang ada di negara ini tidak terikat dalam menjaga kepentingan parti-parti berasaskan kaum lain seperti MCA, MIC dan DAP.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, desas-desus kerjasama antara UMNO dan DAP membuktikan sudah tiada ada lagi parti Melayu dan Islam yang bebas bercakap soal agama dan bangsa serta tidak bersikap apologetik.

Menurutnya, tidak kira sama ada pakatan Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) dan Pakatan Harapan (PH), kesemua parti Melayu Islam hanya bersikap retorik melaungkan perjuangan agama dan bangsa, sedangkan hasilnya ibarat 'menang sorak, kampung tergadai'.

"Dalam BN ada MCA, dalam PH ada DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun sudah buka keahlian kepada ahli bukan Melayu, jadi mana ada parti yang bebas bercakap soal Melayu Islam dan tidak bersikap apologetik?

"Atas faktor itu, Putra akan terus menjadi 'third force' dengan tidak mahu terikat kepada mana-mana kumpulan yang kononnya memperjuangkan Melayu Islam kerana kita tidak mahu menjadi penyebab bangsa Melayu menjadi bangsat di bumi sendiri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas situasi politik semasa membabitkan parti-parti Melayu melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu dengan kerjasama mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sangat longgar dan rapuh.

Ibrahim berkata, beliau turut mempersoalkan integriti dan moral pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang memimpin negara ini kerana berterusan menjadi punca perpecahan dalam kalangan rakyat demi mendapatkan kuasa dan jawatan.

Menurutnya, menyedari aspek integriti, moral dan kepimpinan bersih menjadi penentu pembentukan negara bangsa yang kukuh, persidangan agung pertama parti itu yang akan diadakan di The Regency Hotel, Kampung Baru di sini pada esok akan menggunakan tema 'Putra Bersih, Bermoral'.

Artikel Berkaitan:

"Dengan keahlian parti kini mencecah 25,000 orang dan bilangan cawangan berjaya didaftarkan seramai 106 orang, kita berharap persidangan julung kali parti sebagai titik tolak permulaan Putra untuk meraih sokongan pengundi Melayu Islam.

"Dalam konteks pilihan raya umum ke-15 (PRU15), parti menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dengan 25 daripadanya kita sudah kenal pasti calon berpotensi.

"Apa pun, segalanya terserah kepada rakyat dan sekiranya mereka mahu parti yang bercakap soal Melayu dan Islam tanpa bersikap apologetik, maka Putra adalah pilihan terbaik," katanya.