PKPB di empat daerah di Kelantan tamat

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan ditamatkan hari ini selepas wujudnya trend penurunan mendadak kes aktif Covid-19 di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun PKPB diteruskan di dua mukim (daerah Penggawa) iaitu mukim Kubang Kerian, Kota Bharu dan mukim Kusial, Tanah Merah hingga 20 Disember kerana kes-kes aktif tertumpu di kawasan tersebut.

“Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kg Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh turut diteruskan hingga 20 Disember,” katanya dalam kenyataan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 260 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP dengan 245 dikompaun manakala 15 direman semalam.

Katanya, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah tidak memakai pelitup muka dengan 102 kes, diikuti kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 79 kes.

Kesalahan lain adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 40 kes, aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain (12), katanya.

Sementara itu, mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 18 pendatang asing dan tiga tekong diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga kenderaan darat. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, sebanyak 86,097 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 78 hotel serta 19 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,788 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 543 individu dihantar ke hospital untuk rawatan sementara 72,766 individu dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama