Pas mohon ampun kepada Sultan Nazrin

RAZMAN
RAZMAN
A
A
A

IPOH - Pas Perak mengemukakan permohonan ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tidak menghadap baginda pada 8 Disember lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas akan mengutus warkah memohon ampun kepada Sultan Nazrin, petang ini.

"Pas Negeri Perak sentiasa menjunjung tinggi institusi Kesultanan Negeri Perak dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Perak.

"Maka kami dengan rasa rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tidak menghadap sebagaimana titah baginda pada Selasa, 8 Disember 2020 jam 3 petang yang lalu," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di Pejabat Pas Perak, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Mohd Khalil Yahaya.

Sementara itu, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol mengesahkan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengutus surat kepada Istana Perak untuk menghadap Sultan Nazrin.

Menurutnya, bagaimanapun Pas sedang menunggu maklum balas daripada Istana Perak mengenai perkara tersebut.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin menitahkan semua ADUN Bersatu dan Pas Perak menghadap baginda di Istana Kinta hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Razman dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan ketiga-ketiga ADUN parti itu tidak jadi menghadap Sultan Nazrin.

Mengenai lantikan Exco Kerajaan Perak, Razman menjelaskan senarai calon sudah diserahkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk dipertimbangkan.