'Jalan kaki 300 meter minta bantuan'

Foto mangsa sedang mendapatkan bantuan yang tular di laman Facebook. - Foto Ihsan Facebook Azizi Azizan
Foto mangsa sedang mendapatkan bantuan yang tular di laman Facebook. - Foto Ihsan Facebook Azizi Azizan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) berjalan sejauh 300 meter sebelum menerima bantuan selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan itu menerusi DCC Petaling Jaya sekitar jam 6.30 petang membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga.

Nik Ezanee berkata, menerusi siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu memaklumkan kemalangan berkenaan berlaku selepas kenderaan dipandunya telah terbabas ke dalam longkang besar sewaktu tiba di Bulatan Subang, di sini.

"Susulan itu, mangsa memaklumkan telah keluar dari kenderaannya menerusi pintu sebelah pemandu dan berjalan kaki sejauh 300 meter untuk mendapatkan bantuan di Pos Bantuan Malaysia Airport Berhad (MAB) berhampiran terminal lapangan terbang terbabit.

"Pasukan perubatan juga telah ke lokasi untuk memberi bantuan awal," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, pemeriksaan awal di lokasi turut mendapati mangsa hanya terseliuh tangan kiri dan telah dibawa ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, foto mangsa turut tular di beberapa laman Facebook yang melaporkan mengenai kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan: