United masih ada peluang juara EPL

United menampilkan persembahan cemerlang dalam saingan domestik.
United menampilkan persembahan cemerlang dalam saingan domestik.
A
A
A

BEKAS pertahanan Manchester United, Wes Brown percaya The Red Devils akan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan lebih baik berbanding Manchester City dan berpeluang untuk meraih kejuaraan liga itu.

Menurutnya, situasi tersebut tidak mustahil akan berlaku sekiranya United terus konsisten meraih kemenangan dalam saingan EPL seperti yang dilakukan ketika ini.

"Daripada corak persembahan mereka musim ini, saya rasa United boleh menamatkan liga di kedudukan lebih baik berbanding City. Jangan salah tanggapan, perjalanan tersebut memang sukar tetapi tidak mustahil.

"Saya tidak nampak kenapa United tidak boleh berada di atas City dan menjuarai liga. Seperti musim lepas, United bangkit untuk menamatkan liga di kedudukan keempat. Semua orang tidak menjangka perkara tersebut.

"Apa yang penting adalah mereka perlu terus kekal konsisten dalam saingan liga terutama di laman sendiri. Jika mereka menang tujuh atau lapan perlawanan berturut-turut di Old Trafford, saya yakin orang tidak akan pertikaikan hak United untuk menjadi pencabar liga," katanya.

United meletakkan pasukan tersebut di kedudukan terbaik dalam saingan domestik selepas menampilkan persembahan cemerlang menang empat perlawanan berturut-turut selain mencatatkan kebangkitan dramatik ketika menentang Southampton dan West Ham United.

Keputusan itu menyaksikan pasukan Ole Gunnar Solskjaer naik ke tangga keenam dalam saingan EPL, namun persembahan cemerlang tersebut gagal diteruskan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas ditundukkan RB Leipzig, Rabu lalu.

Bagaikan terluka dengan penyingkiran tersebut, United dijangka bangkit untuk cuba memadam kedukaan tersebut ketika menentang pasukan jiran setempat, Manchester City pada awal pagi Ahad nanti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Brown turut percaya Solskjaer masih individu yang layak untuk mengendalikan United selepas ramai pihak yang mahukan dia meletakkan jawatan.

"Bagi saya, Solskjaer tahu apa yang dia buat dan mahu pemain mengikut corak permainannya. Dia juga sedang membina sebuah pasukan yang mantap.

"Solskjaer memang sering mendapat kritikan kerana dia mengendalikan sebuah pasukan hebat seperti United. Jika tewas, dia akan dikritik dan jika menang, dia akan disanjung. Itu sudah menjadi satu kebiasaan," katanya.