Pemandu lori tidak mengaku sebabkan kematian dua staf JKNP

Tertuduh, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kematian pemandu JKNP Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, pada 10 pagi, 7 Disember lepas di KM 32 Jalan Pekan-Rompin, Pekan.
Tertuduh, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kematian pemandu JKNP Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, pada 10 pagi, 7 Disember lepas di KM 32 Jalan Pekan-Rompin, Pekan.
A
A
A

ROMPIN - Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian dua kakitangan Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP), Isnin lepas.

P Kaingeyen, 34, yang beralamat di Kuantan, kira-kira 115 kilometer (km) dari sini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Tertuduh, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kematian pemandu JKNP Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, pada 10 pagi, 7 Disember lepas di KM 32 Jalan Pekan-Rompin, Pekan dekat sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Kaingeyen juga didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, dan seorang pemandu Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41, pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Semasa prosiding hari ini, peguam Ahmad Denie Roslan merayu mahkamah membenarkan jaminan walaupun Timbalan Pendakwa Raya Nurhalimaton Saadiah Abdullah tidak menawarkan jaminan kepada anak guamnya itu yang baru sebulan bekerja dengan syarikat pengangkutan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Jururawat, pemandu kenderaan KKM maut nahas jalan raya

Artikel Berkaitan:

"Gaji tertuduh hanya sekitar RM1,500 dan isterinya mengandung lapan bulan, selain turut mempunyai tiga anak yang masih kecil. Saya difahamkan keluarga tertuduh berhasrat meminjam wang daripada majikan tertuduh bagi menjelaskan jaminan," katanya.

Azizah membenarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Februari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kemalangan Isnin lepas, pacuan empat roda Toyota Hilux milik Kementerian Kesihatan Malaysia yang dipandu Mohd Zuhairi bersama dua penumpang, Julayha dan Dr Muhd Ikhwan telah bertembung dengan lori tangki ketika sedang dalam perjalanan ke perkampungan Orang Asli Api Larat bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala.

Kemalangan itu, turut melibatkan sebuah Produa Myvi yang dinaiki seorang suri rumah bersama dua anaknya.

Di mahkamah sama, Kaingeyen juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah methamphetamine yang didakwa dilakukan pada 7 petang, 7 Disember lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, Azizah membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari 2021. - Bernama