Raja Muda Selangor hulur sumbangan bina kompleks anak yatim

Tengku Amir Shah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada Nur Mohd Razali mewakili YIDE bagi Pembinaan Tabung Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.
Tengku Amir Shah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada Nur Mohd Razali mewakili YIDE bagi Pembinaan Tabung Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM100, 000 untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.

Cek disampaikan oleh Tengku Amir Shah kepada Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Nur Mohd Razali Abdullah di Istana Kayangan di sini semalam.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata, YIDE sedang berusaha mengadakan kempen untuk menarik sumbangan orang ramai bagi membina Kompleks Anak Yatim YIDE dengan kerjasama Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Menurutnya, kompleks dengan konsep Islamik kontemporari dan termoden di Selangor itu bakal menempatkan 200 anak yatim dalam satu masa.

"Demi merealisasikan pembangunan kompleks ini, pelbagai jaringan kerjasama telah dijalankan di semua peringkat agensi kerajaan dan swasta di samping pengenalan kepada beberapa kaedah sumbangan yang lebih mudah dan efisien kepada umum.

"Sehingga kini, YIDE telah mengumpul sebanyak RM 6.6 juta dan masih memerlukan RM 3.4 Juta lagi untuk pembinaan kompleks anak yatim ini.

"Kita menyasarkan kutipan sumbangan meningkat pada suku pertama dan kedua tahun depan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Tengku Amir Shah turut berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan semasa Projek Pembinaan Kompleks Anak Yatim, Ikon Mahabbah YIDE dan projek pembekalan perubatan kepada asnaf-asnaf di negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Azmie Diron.

Dalam pada itu, Nur Mohd Razali mengajak orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk menghulurkan sumbangan.

"Sumbangan boleh dibuat terus ke akaun Bank Islam YIDE, 1223 40100 07330 atau melalui atas talian Billplz:https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/, juga melalui Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

"Setiap sumbangan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi YIDE," katanya.