Agong dahului senarai penerima darjah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 180 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-75, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 180 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-75, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 180 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-75, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai tahun lepas, dikurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K).

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K II) kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Setia' pula dikurniakan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Seramai 11 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk' antaranya Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad.

Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran 'Datuk', dikurniakan kepada seramai 16 individu antaranya dua penerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 iaitu Ketua Jabatan Perubatan Am dan Pakar Perunding Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr C Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anaestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 30 orang penerima antaranya, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Selangor, Ali Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare Sdn Bhd, Dr Nurul Mu’az Omar.

Artikel Berkaitan:

Editor Kanan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Harlina Samson dan Ketua Pemberita Kumpulan Media The Star, Edward Rajendra JS Henry Kandiah merupakan antara 29 individu yang terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 38 orang penerima dan Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada 40 orang penerima.

Seramai 10 lagi individu turut dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang sempena ulang tahun keputeraan baginda. - Bernama