X

Kindly register in order to view this article
!

Melahirkan lebih ramai Rao dan Adi

A
A

BEBERAPA hari lalu, majalah TIME menobatkan Gitanjali Rao, 15, gadis cilik kelahiran Colorado, Amerika Syarikat sebagai ‘Saintis dan Pencipta Paling Muda 2020’.

Rao turut dianugerahkan ‘Anak Terbaik Tahun Ini’ kerana menghasilkan teknologi memfokuskan kepada perubahan sosial termasuk alat pengesan plumbum dalam air.

Membaca artikel TIME itu membuatkan penulis tertanya-tanya siapakah anak muda Malaysia yang sudah melahirkan ciptaan bertaraf dunia pada usia 15 tahun?

Sepanjang tahun ini rasanya kita hanya disogok dengan cerita anak muda Malaysia bosan berkurung dalam rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Minat tinggi Rao terhadap sains bermula pada usia 10 tahun ketika dia menghadiri STEM Schools Highlands Ranch. Ketika itu, dia mencipta teknologi deria carbon nanotube dinamakan Tethys menggunakan molekul bagi mengesan bahan kimia dalam air melalui telefon pintar dalam tempoh 10 saat.

Ciptaan itu berjaya menyelesaikan isu pencemaran air di Bandar Flint, Michigan pada tahun 2017. Projek ciptaan terbaharu Rao adalah sistem aplikasi bernama ‘Kindly’ menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan ‘pembuli siber’ dengan cepat.

Rao yang pernah dikurniakan ‘Anugerah Belia Alam Sekitar Presiden’ oleh Badan Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat bercita-cita mengambil pengajian Genetics and Epidemiology di Massachussetts Institute of Technology (MIT), Boston.

Malaysia sebenarnya memiliki kanak-kanak pintar bernama Adi Putra. Berita Yahoo melaporkan Adi berjaya mencipta lebih 235 formula matematik baharu dan menerbitkan 12 daripadanya dalam sebuah buku bertajuk Seni Matematik Islam. Buku itu ketika ini dijadikan buku rujukan rasmi di Brunei.

Ketika berusia tujuh tahun, Adi ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di dua universiti ternama, Universiti Oxford dan Universiti Harvard. Apa pun, penulis sedar kerajaan telah menangani isu remaja pintar dengan baik. Malaysia telah menubuhkan Akademi Sains Malaysia (ASM) pada tahun 1994.

Oleh sebab mengajar di Universiti Selangor (Unisel), penulis akur selaku negeri perindustrian utama di Malaysia, Selangor rancak merencanakan pendidikan teknikal menerusi Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

Kehebatan pendidikan teknikal disebut oleh ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 31 bermaksud: “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman, sebutkanlah kepada Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar.”

Penulis berpendapat generasi muda di Malaysia yang cenderung kepada bidang kemahiran perlu diberi peluang seawal usia 15 tahun bagi mengasah bakat kemahiran pada peringkat lebih tinggi dan profesional. Mereka juga sudah bersedia untuk memasuki alam pekerjaan khususnya industri digital yang lebih canggih.

Selain itu, pekerja industri mampu mengendalikan peralatan pemesinan analog menjalani kursus kemahiran teknologi tinggi dan profesional secara intensif bagi melayakkan mereka mengendalikan perkakasan digital dan automatik penuh seiring dengan ke depan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kesimpulannya, penulis berasakan sudah tiba masanya pekerja mahir industri berteknologi dan pensyarah profesional serta mereka berpengalaman diberi peluang berkhidmat sebagai tenaga pengajar undangan di institusi kemahiran.

Mereka tidak harus dibebankan dengan halangan syarat pentadbiran supaya dapat melahirkan lebih ramai pakar profesional pada usia muda di Malaysia. Penulis percaya Malaysia akan mampu melahirkan lebih ramai Rao dan Adi dalam masa yang singkat.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!