X

Kindly register in order to view this article
!

Erti sebuah negara yang rosak

A
A

DALAM perjalanan sejarah, yang pasti status sesebuah negara sentiasa berputar. Daripada kemunduran kepada kekayaan tetapi kembali rosak dan menjadi mundur semula.

Dalam dunia moden, ada gelaran negara gagal dan negara lemah. Ada kategori negara mundur, membangun dan maju serta ada negara pertama dan negara ketiga.

Semua itu adalah tanda ukuran sesebuah negara berjaya atau sebaliknya. Walaupun ramai tidak bersetuju dengan kriteria tersebut, namun terminologi itu diguna dalam setiap perbahasan antarabangsa.

Ciri-ciri sebuah negara yang diistilahkan maju atau mundur diukur dengan pelbagai ukuran termasuklah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan per kapita, tahap literasi, morbiditi dan kadar kelahiran.

Namun, ada pengukuran lain yang lebih diperhitungkan. Ia adalah ketelusan, integriti, keadilan sosial, kebebasan dan urus tadbir.

Kemajuan ekonomi dan prasarana tidak bermakna jika ketelusan tidak dipelihara, integriti punah, keadilan sosial tidak terjamin, kebebasan dibendung dan urus tadbir musnah.

Walaupun negara di kategori sebagai maju, namun jika akhlak dan nilai manusianya tidak dipelihara, ia tidak sama sekali dikira sebagai negara maju. Negara berciri 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang baik dan mendapat pengampunan Tuhan) tidak mungkin boleh dicapai jika nilai keinsanan warga itu sendiri berada pada tahap paling rendah.

Ciri-ciri yang sangat penting diukur adalah tahap ketelusan dan urus tadbir. Antara yang diukur adalah insiden korupsi.

Ramai pemimpin negara sering memberi respon kritikal kepada pengukuran korupsi yang dikeluarkan Transpirancy International kerana ia memberi impak kepada persepsi dunia kepada negara berkenaan.

Sebuah negara yang gagal adalah apabila kondisi asas dan tanggungjawab kerajaan yang berdaulat tidak lagi berfungsi dengan sempurna. Ada negara yang juga disebut negara rapuh dan negara yang runtuh.

Sebuah negara yang stabil memerlukan kerajaan yang berkesan dan absah dari segi undang-undang (legitimate). Apabila sesebuah negara itu lemah, kondisi hidup rakyat menurun dan berkemungkinan sebuah kerajaan itu jatuh.

Sifat negara yang lemah apabila kerajaan Pusat tidak berupaya dan sangat tidak efektif untuk membuat polisi dasar serta tidak mampu memberi khidmat awam yang baik. Itulah yang sedang disaksikan di beberapa negara di dunia sekarang. Legitimasi kerajaan dipersoalkan apabila banyak isu rakyat tidak dikendalikan dengan betul.

Persoalan utama adalah maju-mundur atau berjaya-gagal sebuah negara sangat bergantung bukan sahaja kepada kehendak politik, malah kejujuran politik. Pemimpin yang ditolak rakyat adalah petanda perubahan yang berani perlu digerakkan.

Kini, cabaran mengurus tadbir negara sangat rumit. Dunia terbuka menyebabkan rakyat akan terdedah kepada pelbagai kebangkitan untuk menjatuhkan kerajaan. Bagaikan ular sawa yang nyenyak tidur tetapi tatkala bangkit daripada tidur, amukannya tidak terkawal.

Negara adalah amanah daripada rakyat. Tiada rakyat, tiada negara. Negara disalah urus dan menuju ke arah kegagalan, rakyat harus membuat penentuan. Urus tadbir negara sedang diperhati rakyat dengan sangat kritikal.

Jika rakyat semakin resah, persoalan kehidupan harian semakin sempit, negara menjadi medan pelbagai pihak bertindak untuk menjaga kepentingan masing-masing.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!