Sepanyol masih diancam serangan pengganas

Gambar fail menunjukkan anggota polis mengawal sebuah kawasan selepas sebuah van merempuh sekumpulan orang ramai di Las Ramblas, Barcelona pada tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota polis mengawal sebuah kawasan selepas sebuah van merempuh sekumpulan orang ramai di Las Ramblas, Barcelona pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

SEPANYOL merupakan antara negara Eropah selain Perancis dan Austria yang menjadi sasaran serangan keganasan yang didakwa dilakukan oleh militan Daesh.

Bagaimanapun, serangan pengganas yang didakwa dilakukan oleh kumpulan itu semakin berkurangan selepas mereka berjaya ditumpaskan di Iraq dan ia tidak lagi menguasai beberapa wilayah di Syria.

Namun, secara realitinya, ancaman serangan daripada golongan pelampau itu masih wujud di Sepanyol.

Menurut pakar penyelidik dari Universiti Pablo de Olavide, Seville, Manuel R. Torres, proses radikalisasi kumpulan pelampau tidak pernah berubah sejak berabad yang lalu.

"Penggunaan propaganda yang masih wujud bersama hubungan peribadi dengan rangkaian kumpulan pelampau sebenarnya menjadi bukti kukuh berlakunya perubahan iaitu daripada radikalisasi berkaitan agama kepada penggunaan keganasan," katanya kepada AFP.

Isu keganasan kembali menjadi tumpuan di Sepanyol sejak bulan lalu selepas tiga lelaki dibicarakan di sebuah mahkamah baru-baru ini kerana membantu militan Daesh mendalangi serangan menggunakan sebuah van di Barcelona pada tahun 2017 dan di sebuah resort berdekatan.

Dalam dua serangan itu, yang mana militan Daesh mengaku mendalangi serangan tersebut, seramai 16 orang terbunuh dan 140 lagi cedera di sekitar Barcelona manakala enam penyerang mati ditembak polis.

Bagaimanapun, tiga lelaki iaitu Driss Oukabir, Mohamed Houli Chemlal dan Said Ben Iazza tidak dituduh mengambil bahagian secara langsung dalam serangan itu tetapi menyediakan kemudahan untuk markas pelampau melakukan serangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mereka berdepan dengan hukuman lapan hingga 41 tahun penjara.

Sebelum ini, pada tahun 2004, satu serangan pengganas didakwa mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda berlaku di Madrid apabila empat landasan komuter yang menuju ke bandar raya itu diletupkan sehingga mengakibatkan lebih 190 orang terbunuh dan 1,800 lagi cedera.

Sekumpulan individu meletakkan bom di landasan komuter menyebabkan lebih 190 orang terbunuh di Madrid pada tahun 2004. - Foto AFP
Sekumpulan individu meletakkan bom di landasan komuter menyebabkan lebih 190 orang terbunuh di Madrid pada tahun 2004. - Foto AFP

Menurut Fernando Reinares iaitu profesor dalam bidang sains politik dan kajian keselamatan di Universiti Raja Juan Carlos, Sepanyol seperti dilaporkan dalam laman web wilsoncentre.com, ia merupakan serangan keganasan paling teruk di negara itu.

Berdasarkan portal berita BBC, terdapat bukti yang kukuh terutamanya tentang bahan-bahan letupan yang digunakan bahawa militan-militan ini menjadikan kumpulan Al-Qaeda sebagai sumber inspirasi mereka untuk melakukan kejadian tersebut.

Pada Oktober 2007, sebuah mahkamah di Sepanyol menjatuhkan hukuman terhadap 21 orang yang didapati bersalah terlibat dalam kejadian itu.

Kebanyakan mereka dipenjara tidak lebih 23 tahun manakala tiga orang menerima hukuman penjara selama 42,924 tahun.

Hukuman melibatkan penjara ribuan tahun itu hanyalah satu simbolik kerana di Sepanyol maksimum hukuman penjara hanya selama 40 tahun kerana negara tersebut tidak mempunyai hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Selepas kejadian itu, kira-kira 870 orang ditangkap berhubung dakwaan berkaitan keganasan, menurut satu perangkaan rasmi.

Jumlah itu menunjukkan cabaran besar yang perlu dihadapi oleh pasukan keselamatan Sepanyol.

Sepanyol masih diancam dengan serangan pengganas walaupun ia semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. - Foto AFP
Sepanyol masih diancam dengan serangan pengganas walaupun ia semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. - Foto AFP

"Bilangan individu yang radikal, penghasut, perekrut ahli baharu dan yang dibebaskan selepas menjalani hukuman menjadikan mustahil untuk memantau mereka sekali gus memerlukan mekanisme penilai risiko yang lebih baik," kata seorang penganalisis, Roman Echaniz daripada badan Pemantau Antarabangsa Untuk Kajian Mengenai Keganasan di Sepanyol kepada AFP.

Sejak tahun 2004, Sepanyol mengendalikan program bagi memantau anggota militan yang dipenjarakan dan individu-individu radikal ditahan bagi memastikan mereka tidak menyerahkan idea tentang rancangan untuk melakukan keganasan kepada pihak lain.

Dua tahun lalu, pihak berkuasa berjaya membongkar satu pengambilan ahli radikal baharu dan rangkaian indokrinasi yang melibatkan 25 tahanan.

Terdapat sejumlah tangkapan berlaku sejak beberapa minggu lalu termasuk seorang imam Maghribi yang didakwa menyediakan sokongan logistik kepada militan Daesh di Syria.

Pada tahun 2008 pula, pihak berkuasa berjaya menghalang satu rancangan untuk mengebom tren bawah tanah di Barcelona dengan tertangkapnya 11 orang warga Pakistan dan India.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga 14 tahun penjara setelah disabitkan kesalahan dan mereka didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan Taliban.

Justeru, seperti kata Menteri Muda Keselamatan Sepanyol, Rafael Perez Ruiz pada satu forum yang dianjurkan Real Instituto Elcano baru-baru ini bahawa pengganas masih merupakan ancaman kepada negaranya. - Agensi