Mayat wanita hamil tanpa identiti ditemui terapung

Mayat wanita sarat mengandung ditemui terapung bersama bot tanpa pendaftaran yang karam kira-kira 0.1 batu nautika Utara muara Kubang Badak, Langkawi hari ini.
Mayat wanita sarat mengandung ditemui terapung bersama bot tanpa pendaftaran yang karam kira-kira 0.1 batu nautika Utara muara Kubang Badak, Langkawi hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Mayat wanita sarat hamil ditemui terapung oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama bot tanpa pendaftaran yang karam kira-kira 0.1 batu nautika Utara muara Kubang Badak, Langkawi dekat sini.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita itu daripada orang awam.

Menurut beliau, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengarahkan Bot Petir 81 daripada Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada jam 9 pagi tadi.

"Melalui pemerhatian awal, mayat wanita yang sarat mengandung ditemui terapung dan terbelit pada tali sauh bot, sekali gus menyukarkan usaha membawa mayat ke atas bot Maritim Malaysia.

"Mayat wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti kemudian berjaya diangkat sebelum dibawa ke jeti Maritim Bukit Malut pada sekitar jam 11.40 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zawawi berkata, mayat telah diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, sehingga kini MRSC Langkawi belum menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.

"Orang awam yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750," katanya.

Artikel Berkaitan: