'Spiderman' jual belon dengan bayaran seikhlas hati

Mohd Shahril memakai kostum 'Spiderman' menghiburkan kanak-kanak semasa menjual belon pelbagai bentuk dengan bayaran seikhlas hati. - Foto Bernama
Mohd Shahril memakai kostum 'Spiderman' menghiburkan kanak-kanak semasa menjual belon pelbagai bentuk dengan bayaran seikhlas hati. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Hilang punca pendapatan berikutan wabak pandemik Covid-19 sejak Mac lepas, membuatkan seorang bekas penghibur berkostum adiwira dan watak kartun tidak hanya berpeluk tubuh mengenang nasib sebaliknya mencari inisiatif lain untuk meneruskan kehidupan.

Mohd Shahril Hamzah, 27, memanfaatkan kreativiti dan pengalaman kerjanya sebelum ini dalam mengenakan kostum ‘Spiderman’ untuk menjual belon pelbagai bentuk dengan bayaran seikhlas hati.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, konsep untuk berniaga dengan tidak menetapkan sebarang bayaran berikutan beliau enggan membebankan orang ramai yang rata-rata turut terjejas ekoran pandemik wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara.

“Pada awal berniaga sekitar Jun lalu saya mengenakan bayaran sekitar RM1 sehingga RM2 untuk setiap belon, bergantung kepada bentuk yang dihasilkan, namun sejak beberapa bulan lalu terjadi satu peristiwa di mana seorang bapa tidak mempunyai wang untuk membeli belon yang diminta-minta oleh anaknya.

“Kejadian itu sangat terkesan bagi saya dan sejak itu saya mengambil keputusan untuk berniaga belon dengan bayaran seikhlas hati memandangkan saya turut menyedari masih ramai yang hidup susah terutamanya ketika tempoh sekarang,” katanya ketika ditemui di hadapan jalan McDonald’s Pengkalan Chepa di sini.

Bercerita lanjut, Mohd Shahril yang berasal dari Kampung Pilah, Negeri Sembilan berkata, beliau mengambil masa selama tiga bulan untuk mempelajari ilmu-ilmu dan selok-belok untuk menghasilkan belon pelbagai bentuk menerusi laman YouTube.

Katanya, selain mempelajari di YouTube beliau juga mendapat tunjuk ajar daripada seorang rakannya yang telah berkecimpung dalam bidang ini sehingga membuatkan beliau kini mahir menghasilkan pelbagai bentuk belon.

“Kini mampu berdikari dan berniaga belon sebagai sumber rezeki saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini saya mampu menghasilkan sekitar 15 bentuk belon antaranya bentuk hati, arnab, zirafah, pedang, pistol, bunga dan kuda. Malah, setiap hari saya mampu menghabiskan sekitar 40 sehingga 100 belon termasuk yang diberikan secara percuma,” katanya.

Katanya, walaupun pendapatannya tidak menentu yang hanya bergantung kepada bayaran pelanggan namun beliau mampu memperoleh sekitar RM40 hingga RM50 sehari.

"Alhamdulillah saya tetap bersyukur memandangkan rezeki saya tidak pernah putus sehingga ke hari ini selain ia cukup untuk mengalas perut dan menampung keperluan harian,”katanya yang berniaga bermula jam 5 petang hingga 10 malam setiap hari,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, beliau tidak dapat meneruskan kerjayanya sebagai penghibur berkostum yang dimulakan dua tahun lalu memandangkan tiada sebarang majlis keraian dibenarkan selain taman tema juga tidak dapat beroperasi seperti sedia kala sekali gus membuatkan beliau ‘beralih angin’ kepada peniaga belon.

Seorang pembeli Noor Ellashi Mohd Suhaimi, 32, ketika ditemui berkata, beliau tertarik untuk membeli belon yang dihasilkan oleh Mohd Shahril apabila melihat beliau memakai kostum ‘Spiderman’ selain sepanduk yang diletakkan iaitu bayaran seikhlas hati.

“Usaha yang lakukan oleh Mohd Shahril harus dipuji kerana dapat membantu sekiranya terdapat golongan kurang berkemampuan di samping kita juga dapat bersedekah dengan bayaran seikhlas hati untuk beliau,” katanya yang membeli belon untuk tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga empat tahun.

Sebelum ini kisah Mohd Shahril dimuat naik di laman media sosial Facebook oleh seorang pemilik akaun Syarifah Ezzah dan mendapat ‘like’ (tanda suka) melebihi 1,000 pemilik akaun Facebook dan lebih 500 perkongsian yang rata-rata memuji tindakan beliau yang sanggup membuat perniagaan itu untuk mencari rezeki demi sesuap nasi. - Bernama