Kerja baik-baik, nasihat Sultan Nazrin

Sultan Nazrin menitipkan nasihat kepada petugas media.
Sultan Nazrin menitipkan nasihat kepada petugas media.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan terima kasih atas usaha dan kerja keras petugas media dalam melaporkan perkembangan terkini sepanjang krisis politik di negeri ini.

Semasa bertitah pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda amat menghargai peranan pengamal media yang komited menjalankan tugas bagi memberi maklumat kepada masyarakat.

"Beta amat menghargai petugas-petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan.

"Ini bagi melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melaporkan dan menyiarkan berita bertanggungjawab kepada rakyat yang mengikuti perkembangan yang sedang berlaku," titah baginda.

Selesai istiadat sumpah jawatan berkenaan, Sultan Nazrin turut berkenan berangkat meluangkan masa melawat petugas media di Dewan Jubli Perak di sini.

Baginda berangkat tiba pada jam 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra bersama hampir 50 petugas media daripada pelbagai agensi.

Sultan Nazrin turut berkenan bergambar bersama warga media yang berada di Dewan Jubli Perak hari ini.
Sultan Nazrin turut berkenan bergambar bersama warga media yang berada di Dewan Jubli Perak hari ini.

Baginda juga sempat menitipkan nasihat kepada petugas media.

Artikel Berkaitan:

"Saya nampak kamu semua berhujan berpanas untuk dapatkan berita. Terima kasih semua. Kerja baik-baik," titah baginda.

Petugas media mula berkampung di luar pekarangan Istana Kinta, Ipoh sejak 4 Disember lalu untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung penubuhan kerajaan negeri di Perak.

Krisis pentadbiran di Perak bermula apabila usul undi percaya terhadap menteri besar menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak sekali gus menyaksikan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak gugur secara automatik.