X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Belanjawan Melaka 2021 diluluskan

Sidang DUN Melaka hari ini meluluskan Belanjawan Melaka 2021.
A
A

MELAKA - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Belanjawan Melaka 2021 berjumlah RM445.86 juta.

Belanjawan dengan tema 'Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia' itu dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada hari pertama persidangan ketiga penggal ketiga DUN Melaka ke-14 semalam.

Belanjawan tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM55.96 juta atau 14.32 peratus berbanding RM390.22 juta pada tahun 2020.

Dalam undian selepas ucapan penggulungan Belanjawan tersebut, Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan ia telah mendapat sokongan daripada seramai 17 ahli, manakala 11 berkecuali.

Semalam, Sulaiman ketika membentangkan belanjawan itu berkata, Belanjawan Melaka 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta mencatatkan lebihan kali ke-17 berturut-turut sejak tahun 2005.

Malah, perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM177.54 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM142.20 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM111.87 juta untuk emolumen), RM3.97 juta untuk aset dan RM0.59 juta untuk perbelanjaan lain.

Belanjawan Melaka 2021 yang disifatkan mesra rakyat itu memberi fokus utama kepada pemulihan ekonomi pasca Covid-19, selain turut mengutamakan kebajikan rakyat dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat Melaka.

Selain itu, Sulaiman ketika penggulungan berkenaan turut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan 'one off' kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dengan jumlah keseluruhan RM60,000 dan akan diberikan bermula bulan depan dengan jumlah RM5,000 sebulan setiap seorang.

"Kerajaan negeri sedia menghulurkan tangan untuk menjalinkan hubungan sebagai rakan strategik, saya setuju dengan ini mengumumkan peruntukan 'one off' sebanyak RM60,000," katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengumumkan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Koh Nai Kwong dilantik Ahli Dewan Negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!