Lelaki buat laporan palsu didenda RM500

Tertuduh (tengah) didenda RM500 oleh Mahkamah Kulim hari ini kerana membuat laporan palsu disamun tiga lelaki tidak dikenali di Kampung Ekor Kuching, Padang Serai pada 4 Disember lepas.
Tertuduh (tengah) didenda RM500 oleh Mahkamah Kulim hari ini kerana membuat laporan palsu disamun tiga lelaki tidak dikenali di Kampung Ekor Kuching, Padang Serai pada 4 Disember lepas.
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki dikenakan denda RM500 oleh Mahkamah Kulim hari ini kerana membuat laporan palsu disamun tiga lelaki tidak dikenali di Kampung Ekor Kuching, Padang Serai di sini pada 4 Disember lepas.

Majistret Che Rohana Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Ku Muhammad Shahazlil Ku Muhammad Shukri, 29, selepas lelaki itu mengaku membuat laporan palsu mendakwa dia disamun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan palsu kira-kira jam 2.10 petang pada 4 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Tertuduh membuat laporan mendakwa telah disamun tiga lelaki ketika menunggang motosikal di jalan kebun kelapa sawit Kampung Ekor Kuching, Padang Serai.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku telah kehilangan wang tunai sebanyak RM900 sedangkan kejadian ini tidak benar berlaku dengan alasan bimbang terjadi pergaduhan dengan isterinya memandangkan tidak dapat membeli barangan keperluan rumah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih enam bulan dan denda sehingga RM2000 ataupun kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani dan tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Fieza Fazlin Fendy.

Tertuduh bagaimanapun mengemukakan rayuan denda dikurangkan kerana terpaksa menyara seorang anak berusia setahun tiga bulan dan isterinya tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 kepada tertuduh bagi kesalahan dilakukan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditahan polis kerana membuat laporan polis palsu mendakwa disamun tiga lelaki di Kampung Ekor Kucing, Padang Serai di sini.