X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan kes dakwaan peras ugut usahawan diketahui minggu depan

Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan awal kes siasatan terhadap dakwaan seorang usahawan yang mendakwa diperas ugut semasa disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ditahan pada 1 Oktober lalu akan diketahui minggu depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pada peringkat awal, polis mendapati adanya kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pemerasan dan Seksyen 500 kanun yang sama atas kesalahan fitnah.

"Setakat ini, kita sudah menerima tiga laporan polis membabitkan laporan yang dibuat oleh usahawan berusia 32 tahun, laporan balas oleh SPRM semalam dan laporan daripada seorang individu yang menafikan laporan pertama oleh usahawan terbabit," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah memulakan perbincangan memandangkan banyak isu teknikal dalam kes itu.

"Tiada apa-apa halangan dalam kita menjalankan siasatan, namun ada beberapa perkara yang perlu kita tentukan sebelum mengambil langkah seterusnya.

"Mungkin Isnin dan Selasa hadapan kita akan dapat mengetahui hala tuju kes ini dan mula memanggil saksi-saksi yang mempunyai maklumat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memulakan siasatan kes ini disebabkan butiran yang ada dalam laporan yang dibuat terlalu banyak dan berselang-seli serta perlu dirungkai secara satu persatu.

"Saya sudah mengarahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Dev Kumar M Sree untuk mengkaji sedalam-dalamnya perkara ini, kita tidak mahu membuang masa oleh sebab laporan pertama dan kedua yang mendakwa berlakunya perbalahan," katanya.

Beliau berkata, perbalahan yang dikesan dalam laporan itu adalah membabitkan dua orang ahli perniagaan termasuk usahawan rokok elektronik (vape) terbabit.

"Sekiranya benar, kita tidak mahu terperangkap dan membuang masa dalam siasatan kes perbalahan ini, sebab itu saya tegaskan siasatan perlu dibuat secara berhati-hati," katanya.

Terdahulu, usahawan vape berkenaan mendakwa diperas ugut semasa ditahan oleh SPRM pada 1 Oktober lalu berhubung pembabitannya bersama dua individu yang kini sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti Macau Scam dan pengubahan wang haram.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!