Cubaan seludup burung murai RM108,000 tumpas

Burung murai bernilai kira-kira RM108,000 yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan dalam serbuan di kawasan Sungai Rengit, Pengerang malam tadi. - Foto Ihsan Pasukan Polis Marin
Burung murai bernilai kira-kira RM108,000 yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan dalam serbuan di kawasan Sungai Rengit, Pengerang malam tadi. - Foto Ihsan Pasukan Polis Marin
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup burung murai bernilai kira-kira RM108,000 ke negara jiran dalam serbuan di kawasan Sungai Rengit, Pengerang malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan 260 ekor burung murai batu.

"Dalam operasi yang dijalankan dua pegawai dan 12 anggota dalam tugas Ops Benteng Covid telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sungai Rengit sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan itu.

"Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 42 tahun ditahan dan kita telah merampas 260 ekor disyaki burung murai batu serta sebuah kereta yang digunakan suspek," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Muhd Zailani, burung murai menjadi kegilaan dan buruan masyarakat dari negara jiran kerana fizikalnya cantik dan bersuara nyaring.

"Selain itu burung murai dari Malaysia dikatakan lebih bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran negara Indonesia," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 60(1a) Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel Berkaitan: