Jawatankuasa bersama tangani penularan Covid-19 dalam penjara

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani penularan Covid-19 di penjara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Untuk Menubuhkan Kaukus Menangani Masalah Covid-19 Di Penjara, hari ini.

“Satu daripada masalah (penularan Covid-19) adalah kesesakan penjara dan kita dapati dari 46,000 (tahanan) yang boleh diterima (dalam penjara) tetapi yang ada di penjara (ketika ini) melebihi 62,000 menyebabkan kesesakan tidak kurang daripada 12,000 tahanan.

“Kami akan bertemu dengan menteri (berkaitan) dalam tempoh terdekat bagi kemukakan hal ini supaya langkah-langkah semerta (serta-merta) dan langkah jangka panjang dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata satu rundingan menerusi taklimat khas berhubung perkara itu bersama menteri yang berkaitan juga akan diadakan selepas sidang Dewan Rakyat berakhir 17 Disember ini.

Jelasnya, disebabkan kapasiti (penjara) sudah melebihi jumlah yang ditetapkan, maka perlu dilihat bagaimana untuk diadakan sistem bagi memastikan tidak semua pesalah ditahan di dalam penjara.

Rais berkata, Parlimen mempunyai tanggungjawab bagi melihat dari sudut khusus iaitu dalam aspek kesejahteraan rakyat untuk membantu kerajaan mengatasi penularan Covid-19 di penjara secara keseluruhan dan bukannya secara spesifik.

“Oleh kerana Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah badan tertinggi negara memerhati dan melaksanakan undang-undang, sebab itu kami memberi sokongan kepada usaha preventif agar Jabatan Penjara dapat ruang untuk menerima bantuan menyeluruh daripada kerajaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: