Kluster Bandar Impian dikesan di Johor

VIDYANANTHAN
VIDYANANTHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu lagi kluster jangkitan baharu Covid-19 dikesan di negeri ini iaitu Kluster Bandar Impian membabitkan daerah Kluang menjadikan keseluruhan kluster aktif di Johor hari ini meningkat kepada 15 kluster.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, Kluster Bandar Impian juga melibatkan kawasan Pasir Putih, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak.

Beliau berkata, kluster berkenaan dikesan semalam membabitkan 22 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 40 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

"Kes indeks dikesan hasil saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan pada 1 Disember lalu. Sehingga semalam, seramai 58 individu telah disaring di mana sembilan kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Sebanyak 100 kes baharu yang dilaporkan di Johor semalam iaitu 38 kes daripada kluster sedia ada. Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 2,193 kes," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga emas juga amat membimbangkan dengan peningkatan kes berlaku terhadap golongan tersebut kebelakangan ini.

"Warga emas lebih lemah daya tahan terhadap sesuatu penyakit. Apabila dijangkiti wabak Covid-19, peluang untuk pulih adalah tipis.

"Justeru, adalah lebih baik menjaga jarak fizikal satu meter apabila bertemu dengan mereka. Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digalakkan untuk mengelak daripada bertemu dengan warga emas seperti datuk dan nenek," katanya.

Artikel Berkaitan: