Hampir 48 bulan 'dihantui' masalah air

Rutin harian lebih 100 keluarga terjejas

Penduduk di kawasan perumahan Cina, Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang mendakwa mereka sering berdepan masalah gangguan bekalan air bersih.
Penduduk di kawasan perumahan Cina, Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang mendakwa mereka sering berdepan masalah gangguan bekalan air bersih.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Lebih 100 keluarga di kawasan perumahan Cina, Taman Rantau Jaya di sini mendakwa mereka sering berdepan masalah gangguan bekalan air bersih yang sudah berlarutan hampir 48 bulan sekaligus menjejaskan segala urusan harian.

Wakil penduduk, Saw Phek Inn, 41, berkata, kebanyakan penduduk di sini terpaksa 'berjaga' pada waktu malam bagi mengelakkan mereka terlepas untuk mendapatkan bekalan air.

“Hal ini kerana air hanya akan ada sedikit pada waktu malam. Pada waktu siang bekalan tiada terus.

“Situasi ini cukup mencabar buat penduduk terutama warga emas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Penduduk hanya mampu termenung menunggu air keluar.
Penduduk hanya mampu termenung menunggu air keluar.

Menurutnya, kebanyakan penduduk sudah membuat laporan kepada pihak berwajib, namun tiada sebarang tindakan diambil kecuali melakukan pemeriksaan sahaja.

Katanya, mereka berharap pihak berkenaan dapat turun padang dan menyediakan satu solusi bagi meringankan beban penduduk yang terlibat.

“Sebagai langkah alternatif ada dalam kalangan penduduk terpaksa membeli tangki untuk digunakan bagi menadah air.

Artikel Berkaitan:

“Kami pernah bercadang untuk membina telaga tiub, namun ia tidak sesuai kerana kandungan airnya berbau,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Pan Swan Chung, 53, berkata, mereka percaya berlaku kebocoran paip berhampiran kawasan itu.

Katanya, ia berpandukan kepada pancutan air yang keluar berhampiran kawasan berkenaan.

“Saya merayu sekali lagi kepada pihak berkenaan supaya melakukan pemeriksaan rapi bagi mengesan kebocoran itu,” katanya.