X

Kindly register in order to view this article
!

Dua tekong Vietnam didenda RM700,000 ceroboh perairan negara

Seorang tekong serta 14 kru bot nelayan Vietnam ditahan selepas dikesan menangkap ikan dalam perairan negara pada 10 Oktober lalu. - Foto Ihsan APMM Terengganu
A
A

KEMAMAN - Dua tekong bot Vietnam dikenakan hukuman denda RM700,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara.

Tertuduh, Vu Truong Giang, 33, dijatuhi hukuman denda RM300,000 atas kesalahan menceroboh perairan negara pada 16 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Tertuduh yang merupakan warga Vietnam berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda selain bot serta peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh didakwa gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio, teleks, atau faksimili sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris tentang nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi serta keadaan vesel berkenaan ketika memasuki perairan perikanan Malaysia.

Selain itu, seramai 11 kru bot terbabit yang juga warga Vietnam diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.

Hukuman itu diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh semalam.

Dalam pertuduhan lain, seorang lagi warga Vietnam, Tran Van Lam, 55, dijatuhi hukuman denda RM400,000 manakala 14 kru bot tersebut yang juga warga Vietnam didenda RM40,000 di atas kesalahan menangkap ikan dalam perairan Malaysia.

Kesemua tertuduh termasuk kru bot terbabit didakwa mengikut Sesyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Bot nelayan asing Vietnam tersebut ditahan KM Langkawi ketika sedang leka menunda pukat di perairan Malaysia pada 10 Oktober lalu.

Hakim memerintahkan bot dan semua peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Siti Hajar Mustaffa.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!