Kantoi buat laporan palsu dakwa disamun

465477
465477
A
A
A

KULIM - Polis Diraja Malaysa (PDRM) menahan seorang lelaki yang disyaki membuat laporan palsu mendakwa disamun di Kampung Ekor Kucing Padang Serai pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, helah lelaki berusia 30 tahun itu terbongkar apabila polis mengambil keterangannya berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, lelaki berkenaan membuat laporan polis mendakwa disamun tiga lelaki tidak dikenali ketika menunggang motosikal sendirian melalui jalan kelapa sawit di kampung itu.

"Suspek mendakwa lelaki itu bersembunyi dalam semak kemudian terus menahan dirinya dan mengacukan parang pada lehernya.

"Kemudian suspek mendakwa perutnya ditumbuk dan dompet yang mengandungi wang tunai sebanyak RM900 diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, suspek memberitahu lelaki tidak dikenali itu membuang dompetnya dan terus melarikan diri ke arah kebun kelapa sawit yang berhampiran.

"Bagaimanapun, kita mendapati keterangan diberikan suspek tidak konsisten dengan kejadian dilaporkan dalam laporan polis dibuatnya," katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, suspek akhirnya mengaku membuat laporan palsu atas alasan bimbang jika isterinya bising kerana duit gaji yang diterima tidak mencukupi dan tidak dapat membeli keperluan anak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengadu menyatakan gajinya telah dipotong oleh majikan dengan alasan kad perakam waktu telah rosak, sekaligus mengakui telah membuat satu laporan polis palsu.

"Melalui siasatan lanjut, suspek membuat laporan palsu bagi mengelakkan ahli keluarga mengetahui duit gaji telah digunakan untuk membayar hutang dadah atau membeli keperluan dadah," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, menerusi semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan manakala suspek dihadapkan ke Mahkamah Kulim pagi tadi untuk pertuduhan.

Katanya, beliau menggesa agar orang awam agar tidak sesekali melakukan pemalsuan dalam laporan polis yang dibuat bukan sahaja bagi tujuan membencanakan pihak lain malah bagi kepentingan peribadi.

"Tindakan ini bukan sahaja boleh menyebabkan pihak polis terpaksa mengambil masa bagi menyiasat satu-satu kes yang tidak wujud, malah boleh juga dikenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa jua yang melakukannya,"katanya.

Menurutnya, beliau berharap dengan tindakan ini masyarakat lebih memandang serius berhubung isu laporan polis palsu yang ingin dibuat mereka.