Kutipan zakat harta di Pahang meningkat

Tengku Hassanal menerima sumbangan zakat harta daripada FGV Holdings Berhad (FGV) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd, Mohd Sarian Md Sahid di Istana Abdulaziz kelmarin. Foto PKZ Pahang
Tengku Hassanal menerima sumbangan zakat harta daripada FGV Holdings Berhad (FGV) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd, Mohd Sarian Md Sahid di Istana Abdulaziz kelmarin. Foto PKZ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Prestasi kutipan zakat di Pahang amat memberangsangkan apabila merekodkan peningkatan jumlah kutipan dan bilangan pembayar zakat harta dalam tempoh Januari sehingga 30 November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Seramai 85,326 pembayar zakat harta menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh itu tahun ini dengan jumlah kutipan RM112.3 juta iaitu peningkatan 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, RM107.1 juta dengan 83,723 pembayar zakat harta.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, penyumbang terbesar bagi kutipan zakat harta tahun ini disumbangkan daripada potongan gaji iaitu RM54.1 juta dan bayaran daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan dengan jumlah sumbangan RM28.3 juta,.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bertitah, dijangkakan kutipan zakat harta tahun ini mampu mencecah RM150 juta berbanding kutipan 2019 sebanyak RM143.4 juta.

“Jangkaan itu mengambilkira beberapa faktor termasuk penarikan diri beberapa syarikat korporat yang membayar zakat harta tahun lalu ekoran kekangan punca pendapatan dan situasi semasa terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Terdahulu, baginda menyempurnakan majlis serahan zakat daripada tujuh badan korporat dengan jumlah bayaran hampir RM6.8 juta kepada Muip di Istana Abdulaziz, di sini.

Melalui kenyataan itu, baginda turut mengingatkan semua umat Islam di negeri ini agar segera menunaikan ibadah zakat melalui pelbagai kaedah bayaran zakat yang disediakan atau mengunjungi mana-mana pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, umat Islam yang ingin membayar zakat di kaunter PKZ boleh membayar zakat tanpa tunai dengan menggunakan kad ATM atau kad kredit.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, zakat juga boleh ditunaikan secara dalam talian melalui Perbankan Internet, FPX, Aplikasi PahangGo, aplikasi SnapNPay atau portal MyEg.

“Bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan untuk taksiran tahun ini, semua pembayaran zakat perlu ditunaikan sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Tambah beliau, semua pejabat PKZ Pahang dan kaunter di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) akan dibuka seperti biasa pada Sabtu dan Ahad

pada dua minggu terakhir hujung tahun bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Sementara itu katanya, PKZ Pahang turut dipertanggungjawab untuk menerima bayaran wakaf tunai di semua kaunter-kaunter PKZ Cawangan Kuantan mulai Disember ini.

"Orang ramai boleh berwakaf serendah RM5 dan bayaran boleh dibuat secara tunai atau menggunakan cek di kaunter PKZ semasa berurusan untuk membayar zakat harta.

"Hebahan mengenai kemudahan yang disediakan ini telah dibuat melalui radio, akhbar serta media sosial PKZ Pahang dan Muip.

"Bagaimanapun, orang ramai boleh juga berwakaf secara atas talian melalui portal ewakaf.muip.gov.my,"katanya.