Stadium Sukpa jadi PKRC untuk pesakit Covid-19 bukan warganegara

Persediaan di dalam Stadium Sukpa di Kuantan bagi menempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Persediaan di dalam Stadium Sukpa di Kuantan bagi menempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
A
A
A

KUANTAN - Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan pesakit bukan warganegara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, proses persiapan di pusat tersebut kini hampir 70 peratus selesai.

Menurutnya, sejumlah 115 warga asing daripada Kluster Genting membabitkan Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut akan ditempatkan esok.

"Ini bertujuan supaya situasi semasa tidak mengganggu rawatan dan perkhidmatan sedia ada di hospital-hospital kerajaan serta memberi lebih ruang kepada rakyat Pahang mendapatkan rawatan terbaik," katanya.

Menurutnya, kedudukan stadium yang hampir dengan pusat rawatan intensif Covid-19 akan memudahkan pergerakan doktor pakar bergerak dalam jarak serta masa singkat.

"Pihak keselamatan negeri juga memaksimumkan tahap keselamatan dan kawalan PKRC supaya masyarakat setempat tidak tergugat dengan kehadiran mereka dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa.

"Terdahulu, Stadium Sukpa memang telah ditentukan sebagai PKRC sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan bertujuan untuk menampung kapasiti hospital sekiranya keadaan memerlukan," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan di lokasi tersebut di Indera Mahkota di sini hari ini.

Mohd Zairasyahli Shah berkata, Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini pula telah dijadikan Pusat Petugas Kesihatan dan Pihak Berkuasa bagi mengawal kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti sekitar Genting Highlands.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 1,186 warga asing daripada Kluster Genting telah disaring dan 119 daripadanya dilaporkan positif semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membantu mengawal keselamatan di sekeliling Stadium Sukpa.

Menurutnya, anggota tentera sudah memasang pagar duri sepanjang 364 meter di sekeliling stadium berkenaan sebanyak dua lapisan membabitkan luar dan dalam bagi menghalang pesakit keluar.

"Ini perancangan keselamatan terbaik supaya pasukan perubatan dapat memberikan rawatan sempurna kepada pesakit yang akan datang dari Bentong esok. Yang penting pesakit tidak boleh menyelinap keluar dari kawasan ini.

"Kita juga ingin meyakinkan kepada masyarakat bahawa pesakit ini akan dikawal di dalam stadium

"Sukpa dan akan mendapat rawatan sebaik mungkin. Dalam tempoh 24 jam sehari, seramai 30 hingga 50 anggota polis akan berkawal di kawasan itu dengan dibantu pasukan keselamatan yang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MAEPS diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19

PKRC baharu berkapasiti 500 katil dibuka di Sandakan

Covid-19: PKRC dibuka di Kinta hari ini