Nilai jualan langsung rekod RM17.8 bilion

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Nilai jualan industri jualan langsung tahun ini merekodkan RM17.8 bilion sehingga September lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, nilai jualan tersebut meletakkan negara berada di tempat ketujuh di peringkat global dan keempat pada Asia Pasifik.

Menurutnya, menjelang akhir tahun ini, kerajaan yakin nilai jualan RM20 bilion dapat dicapai walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Beliau berkata, kementerian komited dalam menyokong pertumbuhan sektor itu dengan mengadaptasi perubahan trend perniagaan dan perdagangan norma baharu.

"Keutamaan KPDNHEP untuk membantu mempermudahkan aktiviti perniagaan di negara ini, sekali gus memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan secara lebih cekap dan efisien," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, langkah tersebut termasuk memudahkan proses memperbaharui Lesen Jualan Langsung tanpa mengenepikan aspek pematuhan syarat dan peraturan termaktub di bawah Akta Jualan Langsung.

"Kementerian turut memudahkan permohonan kebenaran untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan bagi tujuan promosi, di mana syarikat kini hanya perlu memaklumkan kepada kementerian sebelum kempen mereka bermula," katanya.

Katanya, KPDNHEP mengambil maklum beberapa perkara berbangkit dikemukakan Persatuan Jualan Langsung Malaysia termasuk cadangan pindaan Akta Jualan Langsung dan Akta Skim Piramid 1993, selain isu penjualan produk jualan langsung secara tidak sah atas talian.

Artikel Berkaitan:

"Ini sedang diperhalusi di peringkat kementerian, malah turut membabitkan kerjasama pemain industri jualan langsung dan penyedia perkhidmatan e-dagang bagi mencari solusi terbaik berhubung perkara itu," katanya.